Pemimpin gagal, nak harapkan siapa? Dialog Tiga Penjuru 8.30 malam ini

Israr Khalid
Oktober 21, 2021 17:12 MYT
Adakah perkembangan pucuk muda akan tetap dipengaruhi budaya lama yang terus dikuasai oleh tuan-tuan tua?
KUALA LUMPUR: Apa yang dititahkan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika sambutan Maulidur Rasul 1443H tempoh hari banyak kebenarannya tentang hakikat kepemimpinan hari ini.
Berapa ramai orang politik yang keramaiannya menjadi pemimpin masyarakat sudah pecah tembelangnya apabila didapati bergelumang dengan perilaku hina - rasuah khususnya.
Sehingga hari ini sebahagian masyarakat sudah tidak lagi punyai hati untuk menghormati para pemimpin yang dipalit najis ini.
Hormat itu bukan atas nama, pangkat dan hartanya, tetapi perlu diraih, dan pemimpin sebegini memang tidak layak mendapat hormat khalayak, sepatutnya.
Golongan muda, yang tidak lagi terikat dengan pemikiran konservatif tunduk tanpa soal atas dorongan perkembangan dunia tanpa sempadan yang membuka pemikiran mereka, tidak lagi melihat kelompok pemimpin ini patut dijadikan contoh.
Berada di era peralihan generasi yang mengambil alih tanggungjawab menggalas nasib agama, bangsa dan negara, pada siapa anak muda harus meletakkan pengharapan dan sanjungan mereka untuk dicontohi, sebagai panduan yang baik untuk meneraju masa depan?
Kita cuba mencari di mana silapnya. Mungkin masih belum ditemukan akarnya, atau terlalu banyak yang berhubung kait dan berselirat sehingga sukar untuk merungkaikannya. Namun ia tidak boleh dibiarkan sahaja begitu.
Buluh sebesar pemeluk sudah tidak boleh lagi dilentur. Maka hanya harapan yang boleh menjadi sandaran adalah pucuk muda, yang masih anjal untuk membentuk diri menjadi tunjang yang kukuh serta membawa sejahtera di masa hadapan.
Persoalannya, adakah tumbesaran pucuk muda ini, yang penuh tenaga dan semangat untuk merimbunkan perubahan, akan tetap dikongkong dan dibentuk oleh persekitaran dan suasana lama yang terus dikawal tuan-tuan tua?
Di mana ada kemahuan, pasti ada jalan, dan tidak mustahil tembok kongkongan itu dapat dibolosi dan diruntuhkan, kalau kena nawaitu dan caranya.
Pentas Dialog Tiga Penjuru malam ini menampilkan pengasas EB Tech, Moses Lenjau Vinsien; pengasas bersama Arus Anak Muda, Nabil Halimi dan Ahli Parlimen Belia, Dr. Satesh Kumar.
Pastikan anda menonton Dialog Tiga Penjuru pada pukul 8.30 malam ini hanya di saluran 501 dan astroawani.com.
#Dialog Tiga Penjuru #Rasuah #pemimpin #anak muda
;