Pemimpin boleh ambil keluarga angkat untuk terap semangat keluarga Malaysia - CPHM

Israr Khalid
September 6, 2021 06:44 MYT
Menjadi keluarga yang harmoni dan makmur perlu saling melengkapi antara satu sama lain. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Dalam sebuah keluarga, segala tindakan kepala keluarga itu, baik bapa mahu pun ibu, akan menjadi ikutan anak-anaknya. Begitu juga konsepnya dalam keluarga Malaysia.
Maka dalam konteks sebuah negara, semangat kebersamaan harus dimulakan oleh kepimpinan tertinggi.
Sambil usaha dijalankan untuk merapatkan saf antara kerajaan dan pembangkang, kepimpinan juga perlu merapatkan jurang antara mereka dengan rakyat.
Untuk memupuk semangat ini hingga ke peringkat akar umbi, Penasihat Christians for Peace and Harmony in Malaysia (CPHM) Jason Leong mencadangkan, anggota kabinet mengambil pendekatan simbolik dengan program keluarga angkat.
“Jurang ini boleh diatasi kalau rakyat jelata merasai bahawa pucuk pimpinan negara memang ada di sisi mereka.
“Mungkin kesemua 70 orang Menteri dan Timbalannya boleh mengambil satu keluarga angkat tersendiri yang dipilih daripada golongan B40, Melayu, Cina dan India.
“Pada setiap perayaan atau hari-hari istimewa jemputlah keluarga angkat ini ke rumah para menteri, raikan bersama. Ini dapat menunjukkan contoh keluarga Malaysia yang besar daripada kepimpinan teratas negara.”
Leong melihat pendekatan itu turut boleh dicontohi oleh kesemua 222 orang Ahli Parlimen untuk menterjemahkannya di kawasan masing-masing, di samping terus berkhidmat dan membangunkan masyarakat secara umum yang menjadi tanggungjawab hakiki mereka.
Selain kebersamaan, elemen saling melengkapi itu juga penting dalam membentuk sebuah keluarga yang harmoni dan makmur.
Perkara itu, kata Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, perlu diberi penekanan supaya ia tidak semata-mata sebuah konsep untuk mewujudkan rasa dekat dalam kalangan ahli politik serata antara pemimpin dengan rakyat.
Katanya memberi gelaran kekeluargaan kepada pemimpin tidak salah, tetapi jangan sampai rasa dekat itu membataskan hak dan keperluan rakyat untuk menegur kekhilafan para pemimpin.
“Mungkin nak kelihatan dekat dengan istilah yang kita sebut mungkin Pak Long, Pak Ngah, Mak Cik dan sebagainya.
“Tapi bila mana konotasi kekeluargaan itu disalah anggap dan disentimentalkan, maka apabila berlaku kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin maka akan rasa serba salah, “takkan lah nak marah Pak Long sendiri?”
“Sedangkan saya fikir elemen kekeluargaan Malaysia dalam konteks yang lebih besar adalah untuk berada pada situasi yang melengkapi satu sama lain, masing-masing ada peranan sendiri.”
Mereka berkata demikian dalam program Agenda AWANI dihoskan Nazri Kahar pada Isnin. Tonton di sini:
Ahli kabinet & ahli Parlimen boleh ambil keluarga angkat untuk terap semangat keluarga Malaysia - CPHM
Keluarga Malaysia perlu berteraskan elemen saling melengkapi - ABIM
Agenda AWANI: Keluarga Malaysia | Solidariti Menuju Endemik
#Agenda Awani #Keluarga Malaysia #keluarga angkat #Christians for Peace and Harmony in Malaysia #CPHM #ahli Parlimen #kabinet #Jason Leong #Angkatan Belia Islam Malaysia #ABIM #Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
;