Pemimpin BN tidak tercalon, dinasihat tidak keluar parti - Dr Subramaniam
Bernama
April 26, 2018 20:19 MYT
April 26, 2018 20:19 MYT
Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam menasihati pemimpin Barisan Nasional (BN) yang kecewa apabila tidak dicalonkan bertanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) agar tidak bertindak keluar parti dan melawan parti sendiri.
Dr Subramaniam berkata tindakan segelintir calon tersebut bukan perkara baik dan ia bertentangan dengan prinsip parti.
"Jangan bertindak terburu-buru keluar parti atau lawan parti sendiri apabila nama tidak dicalonkan pada PRU14.
"Mereka perlu ingat bahawa jawatan bukan perkara utama apabila menjadi anggota parti sebaliknya agenda mereka adalah untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Institut KKM Segamat, hari ini.
Beliau mengulas tindakan segelintir pemimpin BN yang bertindak melepaskan jawatan mereka selepas tidak tercalon dan tindakan Majlis Tertinggi (MT) MyPPP memecat Presidennya Tan Sri M. Kayveas setelah didapati mengambil tindakan bertentangan dengan kepentingan parti serta BN.
Dr Subramaniam berkata semua calon MIC yang dipilih untuk bertanding PRU14 adalah muktamad dan tidak akan berlaku sebarang perubahan nama calon pada hari penamaan calon, Sabtu ini.
"MIC tidak akan mengubah nama calon di saat akhir dan semua nama calon yang telah diumumkan sebelum ini kekal bertanding," katanya.
Sementara itu, pada majlis Taklimat Projek Naik Taraf Klinik Kesihatan (Jenis 2) Segamat, Dr Subramaniam berkata projek tersebut kini dalam peringkat tender dan kerja menaik taraf akan bermula pada September.
Beliau berkata projek bernilai RM40 juta yang dijangka siap pada 2020 itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan kesihatan antaranya perkhidmatan pesakit luar, perkhidmatan ibu dan kanak-kanak, perkhidmatan pergigian, makmal x-ray, perkhidmatan pencegahan penyakit dan promosi kesihatan.
Terdahulu, Dr Subramanim turut menyampaikan bayaran caruman selama setahun kepada 42 pemandu teksi sekitar Segamat yang menyertai Skim Insurans Pekerja (SIP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menurutnya, bayaran caruman tersebut diberikan sebagai suntikan semangat kepada pemandu teksi sekitar kawasan Parlimen Segamat bagi mendapat pelbagai faedah sama ada berbentuk pampasan ataupun gaji yang disediakan oleh Perkeso jika terlibat dalam kemalangan atau hilang upaya.
"Ini merupakan jaminan jangka panjang kepada pemandu teksi yang tidak mempunyai pendapatan tetap yang sebelum ini tidak mendapat perlindungan menerusi skim oleh Perkeso," katanya.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional
#calon
#caruman
#kecewa
#Kementerian Kesihatan
#Klinik Kesihatan Segamat
#M Kayveas
#MalaysiaMemilih
#MIC
#penamaan calon
#perkeso
#pilihan raya umum
#PRU14
#S Subramaniam
#Segamat
#teksi