Pemimpin ASEAN tandatangani Deklarasi KL bagi pembentukan komuniti ASEAN
Tan Su Lin
November 22, 2015 13:16 MYT
November 22, 2015 13:16 MYT
Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 yang berlangsung di ibu negara hari ini mencipta sejarah dengan termeterainya Deklarasi Kuala Lumpur 2015 bagi penubuhan Komuniti ASEAN menjelang 31 Dis 2015.
Deklarasi tersebut menggariskan ketetapan untuk meningkatkan integrasi di rantau yang mempunyai populasi lebih 600 juta.
Pemeteraian deklarasi itu menandakan penubuhan satu blok komuniti baharu di Asia Tenggara sekali gus menjadikan rantau ini sebagai satu suara berpengaruh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengetuai pemimpin 10 negara ASEAN dalam memeterai
Deklarasi berkenaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada sidang kemuncak ASEAN 2015.
Deklarasi itu mengandungi tiga tonggak utama, iaitu pembinaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) bertujuan meningkatkan lagi integrasi dalam tiga bidang berkenaan.
Najib disertai pemimpin sembilan lagi negara Asia Tenggara dalam menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur 2015 bagi Pembentukan Komuniti ASEAN.
Mereka juga menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur bagi ASEAN 2025: Bersama Melangkah Ke Hadapan, dokumen yang menggariskan hala tuju komuniti itu untuk 10 tahun akan datang.
Selepas majlis pemeteraian itu, pemimpin berkenaan memuktamadkan upacara itu dengan membuat satu pukulan pada dram secara serentak, melambangkan keazaman ASEAN ke arah menjadi satu komuniti.
Selain Najib, dokumen itu ditandatangani oleh Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Laos Thongsing Thammavong, Presiden Myanmar U Thein Sein, Presiden Filipina Benigno S. Aquino, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha dan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Tan Dung.