Pemimpin ASEAN digesa hentikan pencemaran jerebu rentas sempadan - Greenpeace
Najib Aroff
November 2, 2019 17:56 MYT
November 2, 2019 17:56 MYT
Pemimpin ASEAN digesa bertindak segera untuk menghentikan pencemaran jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kesihatan jutaan penduduk dan melibatkan kerugian besar di Asia Tenggara, kata organisasi masyarakat sivil, Greenpeace.
Anggota ASEAN juga perlu segera melaksanakan Perjanjian Jerebu Rentas Sempadan 2016 dan menguatkuasakan akauntabiliti memandangkan kebakaran hutan menjejaskan sebahagian besar Asia Tenggara terutama Malaysia, Singapura Indonesia, Thailand dan Filipina.
Baru-baru ini Kementerian Perhutanan dan Alam Sekitar Indonesia mengumumkan kebakaran hutan pada 2019 melibatkan kawasan seluas 857,756 hektar sejak Januari hingga September, bersamaan keluasan 12 kali Singapura.
Meskipun terlalu awal untuk mengatakan sama ada bencana jerebu 2019 akan melepasi tahap terburuk 2015, namun jumlah penyakit mata dan saluran pernafasan di Malaysia meningkat 30 hingga 40 peratus sejak September lepas.
Manakala Indonesia pula mengumumkan sejumlah 919,000 individu disahkan menghidap jangkitan saluran pernafasan yang teruk.
“Krisis jerebu serantau sepatutnya harus menjadi agenda utama pemimpin ASEAN pada 2015, ketika krisis ini memuncak.
“Namun kesihatan jutaan penduduk terjejas akibat tindakan pembakaran hutan dan sawit serta tanaman pulpa serta industri kertas yang memberikan keuntungan kepada perniagaan, namun rakyat merana,”kata Aktivis Kempen Perhutanan Greenpeace Indonesia, Ratri Kusumohortono dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Greenpeace.
Menurut kajian Greenpeace Indonesia, sejumlah syarikat dari Malaysia dan Singapura tutut memiliki ladang kelapa sawit, pulpa dan kertas yang dibakar dan dibersihkan sekaligus didakwa menyumbang kepada krisis jerebu serantau.
Menurut Greenpeace, meskipun syarikat ini melanggar undang-undang namun masih tiada sekatan dikenakan.
Tambah Greenpeace meskipun wujud Perjanjian Jerebu Rentas Sempadan, ASEAN perlu mewujudkan pasukan tindakan khas untuk memastikan ketelusan dan mendedahkan maklumat berkaitan pihak terlibat.
“Kita mampu mempunyai ASEAN bebas jerebu jika pihak tidak bertanggungjawab dihukum. Kita harus mewujudkan sistem perundangan rentas sempadan yang membolehkan pihak kerajaan menghukum pesalah selain memperkasakan penduduk ASEAN untuk mengambil tindakan sama.
“Itulah semangat di bawah Perjanjian Jerebu Rentas Sempadan 2002. Langkah ini amat penting tidak hanya untuk melindungi alam sekitar sebaliknya menjadikan peserta industri lebih bertanggungjawab,” kata Peguam Alam Sekitar dari Malaysia Kiu Jia Yaw.
Menurut Greenpeace, meskipun wujud Pelan Hala Tuju Bebas Jerebu bagi ASEAN Bebas Jerebu Rentas Sempadan 2020, perkembangan hala tuju itu dan pelaksanaanmnya boleh dipersoal.
Kajian Greenpeace yang bermula pada 4 hingga 21 September lepas turut menyenaraikan beberapa buah syarikat perladangan berkaitan Malaysia yang didakwa merekodkan titik kebakaran.
#ASEAN
#Filipina
#Greenpeace
#Indonesia
#jerebu
#kebakaran
#kesihatan
#Malaysia
#rakyat
#Singapura
#Thailand
#undang-undang