Pemimpin Arab jadi sasaran alat Israel, AS - MAPIM
Astro Awani
September 12, 2020 05:39 MYT
September 12, 2020 05:39 MYT
Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengutuk keras sikap pengecut dan bacul pemimpin Bahrain yang sanggup menjual diri kepada Israel dan Amerika Syarikat (AS) dengan mengumumkan perjanjian damai bersama rejim itu.
Ia susulan langkah pertama yang diambil Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ogos lalu dan semakin jelas menyaksikan satu demi satu pemimpin Arab di Timur Tengah akan menjadi alat dan hamba kepada Israel dan AS.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan inisiatif Presiden AS Donald Trump untuk menyatukan Israel dengan negara-negara Arab di Timur Tengah semakin menjadi kenyataan.
Malah, usaha memecah belah negara Arab adalah strategi paling ampuh untuk Israel menguasai seluruh Palestin.
"Kami mengutuk sikap pengecut dan bacul pemimpin Bahrain yang sanggup menjual diri kepada Israel dan Amerika.
"Kami mempersoalkan, adakah Bahrain mendapat restu negara Arab yang kaya yang selama ini membantu pemerintah Bahrain menindas kebangkitan rakyat di Bahrain sejak Arab Spring 2011," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ujarnya lagi, Perjanjian Damai Bahrain-Israel yang diumum pada Jumaat selepas mengadakan panggilan telefon bersama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan pemimpin Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa adalah pengkhianatan yang sangat hina bagi umat Islam.
"Pengumuman oleh Trump itu adalah isyarat usaha menarik satu demi satu pemimpin Arab yang akan mengkhianati perjuangan Palestin sekali gus umat Islam.
Kami mengutuk tindakan hina pemimpin Arab, UAE dan Bahrain itu.
"Sesungguhnya berita ini tidak mengejutkan selepas Imam Masjid Baitul Haram Abdul Rahman Sudaish menyampaikan khutbah yang mengisyaratkan berbaik dengan Israel adalah dibenarkan dalam Islam.
"Imam itu telah sanggup menjadi hamba kepada Israel.
"Selepas Mesir (1979), Jordan (1994) dan UAE (Ogos 2020), kini Bahrain ditundukkan oleh Amerika dan Israel," tambah beliau lagi.
Kata beliau, perjanjian itu sebenarnya tiada kena mengena dengan kedamaian, sebaliknya untuk menghapuskan perjuangan membebaskan Palestin.
"Agenda sebenar Bahrain dan Israel ialah merampas wilayah Palestin, meneruskan sistem apartheid Israel ke atas Palestin dan mengambil alih Masjid Al Aqsa.
Pengumuman perjanjian Bahrain-Israel itu adalah kesan domino yang dicatur oleh Israel untuk menundukkan bangsa Arab.
"Israel menyasar pemimpin-pemimpin Arab.
"Trump kini sedang mengatur negara-negara di dunia yang boleh ditekan untuk mengiktiraf Israel serta memindahkan kedutaan masing-masing dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
"Matlamat Trump ialah negara-negara Arab lain mengambil langkah sama seperti UAE dan Bahrain," katanya.
Justeru, MAPIM memberi ingatan kepada semua pemimpin negara Islam bahawa soal mengiktiraf israel adalah garis merah yang tidak akan dikompromi.
"Mereka yang menjalinkan hubungan dengan Israel adalah tergolong dalam kalangan pemimpin yang bersifat munafik yang bersekongkol dengan musuh umat Islam.
"Kami menuntut sidang khas negara Islam diadakan untuk menjelaskan sikap terhadap normalisasi dengan Israel," tambahnya.
#agenda
#Asia
#Benjamin Netanyahu
#Donald Trump
#haram
#Islam
#Israel
#Jordan
#Malaysia
#menteri
#Mesir
#Perdana Menteri
#presiden
#rakyat
#UAE