Pemimpin APEC bincang agenda perdagangan untuk dekad akan datang
Bernama
November 19, 2020 21:19 MYT
November 19, 2020 21:19 MYT
KUALA LUMPUR: Pemimpin daripada 21 ekonomi yang di berada di Lingkungan Pasifik akan bertemu esok untuk membincangkan langkah serta tindakan untuk memulihkan pertumbuhan di samping memastikan aliran perdagangan yang lancar dalam keadaan krisis kesihatan dunia.
Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 yang diadakan esok akan berlangsung secara maya buat kali pertama, dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kalangan pemimpin dijangka menerima dan mengamalkan Visi Pasca-2020 yang mengandungi pemboleh untuk memacu pertumbuhan ekonomi dalam tempoh 20 tahun akan datang, menggantikan Matlamat Bogor.
Mereka juga akan meneliti semula Deklarasi Pemimpin yang mencerminkan tema Malaysia iaitu 'Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran'.
Agenda penting lain pula adalah berkaitan dengan multilateralisme selain komitmen terhadap perdagangan serta pelaburan bebas dan terbuka.
Sementara itu, Majlis Penasihat Perniagaan APEC menggesa para pemimpin memperkukuh kerjasama dan menyokong sistem perdagangan pelbagai hala dalam menghadapi pandemik COVID-19.
Ekonomi rantau ini dijangkakan menguncup 2.5 peratus tahun ini atau bersamaan dengan kerugian keluaran sebanyak US$1.8 trilion (US$1=RM4.11), menurut Unit Sokongan Dasar APEC.
Pada akhir Oktober, jumlah kes COVID-19 di rantau ini mencecah lebih 14 juta, iaitu 32 peratus daripada kes jangkitan global.
Muhyiddin, semasa menyampaikan ucaptama di Dialog Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC hari ini, menekankan penting untuk APEC kembali komited terhadap terasnya serta matlamat perdagangan dan pelaburan bebas dan terbuka di rantau ini.
"Ini penting dalam usaha kita membangunkan semula ekonomi selepas tempoh pandemik," katanya.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kepada Bernama baru-baru ini bahawa Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk memastikan konsensus itu dicapai.
"Tidak ada cadangan atau usaha boleh dimuktamadkan sekiranya satu daripada (21 ekonomi Lingkungan Pasifik) tidak bersetuju, kerana prinsip utama adalah konsensus, sukarela dan tidak terikat.
"Prinsip ini juga dipegang ketika Malaysia menerajui proses mencapai kata sepakat dalam menyelesaikan dua dokumen penting, Visi Pasca-2020 dan Deklarasi Pemimpin APEC, tahun ini," katanya.
Selepas ditubuhkan pada 1989, ekonomi APEC menyumbang 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dunia dan 48 peratus daripada perdagangan global.
Malaysia menjadi tuan rumah APEC buat kali kedua selepas pada 1998.
-- BERNAMA
#pemimpin
#APEC
#Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik
#Perdana Menteri
#Tan Sri Muhyiddin Yassin
#Visi Pasca-2020