Beberapa ketua cabang serta ranting Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi ingatan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya menghormati keputusan parti dan melepaskan jawatan beliau.

Menurut satu kenyataan bersama oleh beberapa pemimpin cabang parti itu, keengganan Abdul Khalid melepaskan jawatan hanya akan merosakkan imej beliau.

"Akar umbi akan mempersoalkan apakah motif sebenar beliau mengambil sikap sedemikian yang hanya boleh menguntungkan musuh politik Pakatan Rakyat.

"Akar umbi masih menaruh harapan yang cukup besar ke atas Pakatan Rakyat untuk membawa reformasi dan perubahan yang lebih baik di negeri Selangor," kata kenyataan oleh ketua cabang Subang, Sivarasa Rasiah; ketua cabang Selayang, William Leong; ketua cabang Kelang, Yew Boon Lye; dan ketua ranting Sg Jarum, David Cheong itu.

Menurut mereka, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan Presiden PKR juga ADUN Kajang, adalah calon yang paling kanan dan paling layak di kalangan ADUN PKR di negeri Selangor untuk menjawat jawatan Menteri Besar.

Selain itu, mereka juga menyatakan sokongan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap Presiden parti itu dan menggesa agar semua anggota PKR termasuklah ADUN dan Exco dalam pentadbiran Selangor agar menghormati keputusan Majlis Pimpinan Pusat.

Semalam, lima lagi cabang PKR juga telah menyatakan sokongan mereka terhadap Wan Azizah yang juga isteri kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Cabang-cabang tersebut ialah Tanjung Karang, Sabak Bernam, Sungai Besar, Sepang dan Kapar.

Kata mereka, pelawaan Abdul Khalid agar ADUN Pakatan Rakyat (PR) membuat undi tidak percaya terhadap beliau disifatkan sebagai 'cukup memalukan'.

Isu Menteri Besar ini timbul selepas Abdul Khalid dikatakan enggan melepaskan jawatannya meskipun partinya telah bersetuju untuk memilih Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan dirinya.

Abdul Khalid sebaliknya meminta supaya Pakatan Rakyat mendapatkan semula mandat daripada rakyat sebagai jalan terbaik untuk menukar Menteri Besar.

Keadaan itu diperhangatkan lagi selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan Abdul Khalid untuk kekal sebagai MB Selangor.

Namun, pemimpin PAS telah diarahkan tidak lagi membuat sebarang kenyataan berhubung isu MB Selangor dan menunggu keputusan keputusan mesyuarat PAS pusat mengenai perkara itu pada 10 Ogos ini.