Pemimpin akar umbi digesa pastikan anak buah arif dasar kerajaan

Bernama
April 25, 2018 05:27 MYT
DOUGLAS: Pemimpin-pemimpin akar umbi adalah pemangkin pembangunan ekonomi Sarawak, terutamanya di kawasan terpencil dan pedalaman. - BERNAMA/Fail
Ketua masyarakat dan ketua kaum sebagai pemimpin peringkat akar umbi di negeri ini digesa memain peranan memastikan anak-anak buah mereka diarifkan dengan pelbagai dasar serta program kerajaan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini bagi menggapai impian Sarawak menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
Menurut beliau, pemimpin-pemimpin akar umbi adalah pemangkin pembangunan ekonomi Sarawak, terutamanya di kawasan terpencil dan pedalaman.
"Pastikan anak-anak buah tuan-puan diarifkan dengan polisi serta program kerajaan yang begitu banyak dalam menyokong usaha agar setiap rakyat Malaysia, khususnya di Sarawak menikmati gelombang transformasi menjurus ke negara maju dan berpendapatan tinggi," katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapaee pada majlis penangguhan Seminar Pembangunan dan Kepimpinan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Peringkat Negeri Sarawak 2018 (Bahagian Sibu, Mukah dan Kapit) di sini pada Rabu.
Uggah berkata, di bawah pentadbiran Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg banyak pencapaian telah dilakukan seperti pelancaran Petroleum Sarawak Berhad (Petros), DBOS (Bank Pembangunan Sarawak), aplikasi Sarawak Government dan SarawakPay, pelancaran TEGAS Digital Innovation Hub, Sarikei Innovation Centre dan Sarawak Multimedia Authority.
"Semua ini, termasuk pelan untuk pembinaan sistem grid air, sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Skim Elektrifikasi Pedalaman Alternatif Sarawak (SARES) dan sebagainya, memainkan peranan yang penting dalam membangunkan negeri Sarawak menjadi negeri yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030," katanya.
Sehubungan itu katanya, rakyat perlu meneruskan sokongan tidak berbelah bahagi dan memberi mandat yang teguh dan kental kepada kepimpinan Abang Johari dalam mentransformasi pembangunan Sarawak ke tahap yang boleh dibanggakan rakyat masa kini dan serta generasi akan datang. -- Bernama
#akar umbi #Douglas Unggah Embas #Malaysia Memilih #pemimpin #PRU14 #Sarawak #Timbalan Ketua Menteri Sarawak
;