Pemimpin ajaran sesat 'Kerajaan Langit' Ayah Pin, meninggal dunia

Astro Awani
April 23, 2016 12:35 MYT
Menurut isteri Ayah Pin (gambar), Che Jaharah Awang, 56, suaminya meninggal dunia pada usia 74 tahun kerana sakit tua. - Gambar fail
Ketua ajaran sesat 'Kerajaan Langit' Arifin Muhamad atau Ayah Pin, meninggal dunia pada jam 8.30 Jumaat malam di rumahnya, di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Besut, Terengganu.
Menurut isterinya, Che Jaharah Awang, 56, suaminya meninggal dunia pada usia 74 tahun kerana sakit tua.
Ayah Pin, adalah pengasas kepada 'Kerajaan Langit' yang telah disenaraikan pihak berkuasa agama dalam kumpulan ajaran sesat yang berkampung di Kampung Batu 13, Hulu Besut.
Ayah Pin menyifatkan dirinya sebagai wakil 'tuhan' segala agama, manakala pengikutnya pula menganggap Ayah Pin sebagai 'tuhan' yang menerima wahyu dari langit dan segala yang dibuatnya adalah berasaskan wahyu berkenaan.
Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu melalui Seksyen 25, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986, mengeluarkan fatwa bahawa ajaran dan pegangan Ayah Pin adalah palsu, sesat dan merosakkan akidah.
Jawatankuasa berkenaan juga memaklumkan ajaran Ayah Pin boleh membawa ancaman kepada ketenteraman orang awam.
Fatwa berkenaan diwartakan haram pada 4 Disember 1997.
Pada April 2005, Pejabat Tanah Daerah Besut mengeluarkan notis merobohkan beberapa premis dan replika gergasi di markas Ayah Pin di perkampungan berkenaan.
Sementara itu, Jenazah Ayah Pin telah dikebumikan jam 8 pagi tadi di tanah perkuburan berhampiran rumahnya di perkampungan berkenaan, lapor Berita Harian Online.
#arifin Muhamad #Ayah Pin #Che Jaharah Awang
;