Pemimpim rakam takziah atas pemergian bekas Menteri Siti Zaharah Sulaiman

Bernama
Julai 27, 2024 12:20 MYT
Allahyarham dikatakan banyak berjasa kepada negara dan bangsa.
KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin kerajaan dan parti hari ini merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman, yang meninggal dunia malam tadi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali menerusi catatan Facebook berkata Siti Zaharah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO itu merupakan sahabat kepada arwah ibunya.
"Al-Fatihah. Sahabat akrab arwah bonda. Tidak pernah dengar khabar Allahyarhamah tidak sihat.
"Dirafakkan doa semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama para hamba yang dikasihi Allah SWT. Salam takziah buat seisi keluarga," katanya.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Noraini Ahmad berkata selain pembangunan Wanita UMNO, Allahyarham banyak berjasa kepada negara dan bangsa.
"Sumbangan beliau tidak ternilai dan akan terus dikenang oleh semua lapisan masyarakat.
"Wanita UMNO berdukacita atas pemergian Allahyarham dan mengucapkan takziah kepada keluarga serta kenalan beliau. Semoga Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan diberikan ketenangan abadi," katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan pemergian Allahyarhamah satu kehilangan besar kepada negara, negeri Pahang dan juga UMNO.
"Semoga roh Allahyarham Tan Sri dicucuri rahmat Allah SWT, diampunkan segala dosa serta ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah," katanya.
Siti Zaharah meninggal dunia di Hospital Serdang pada 11.23 malam.
-- BERNAMA
#Siti Zaharah Sulaiman #takziah #meninggal dunia #UMNO
;