Pemilu 2024: Isu penyalahgunaan kertas undi jadi fokus - Hermono
Hasimi Muhamad
Februari 11, 2024 12:10 MYT
Februari 11, 2024 12:10 MYT
KUALA LUMPUR: Isu penyalahgunaan kertas undi oleh pihak tidak berkepentingan menjadi antara fokus utama Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Malaysia bagi proses awal pada Pilihan Raya Umum (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 kali ini.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan insiden kontroversi yang berlaku pada Pemilu 2019, tidak berulang.
“Kita ingin mengurangkan sekecilnya kemungkinan penyalahgunaan kertas undi daripada pihak yang tidak berkepentingan dalam pemilihan kali ini agar proses memilih kepimpinan baharu berjalan lancar.
“Bagi proses undi awal di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) ini, kita jangkakan sekitar 20 peratus pemilih yang berdaftar di sini akan keluar menunaikan tanggungjawab hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi di WTCKL sekitar jam 9.10 pagi Sabtu.
Seramai 222,945 pemilih yang layak akan menjalankan tanggungjawab di WTCKL bagi proses undi awal.
Selain WTCKL, lima lagi lokasi ialah Johor Bahru (2,684), Pulau Pinang (5,375), Kota Kinabalu (2,811), Tawau (20,247) serta Kuching (2,988).
Mengulas lanjut, Hermono berkata, proses pengundian di Malaysia pada pemilihan kali ini turut diyakini berjalan lancar berdasarkan persiapan rapi yang dibuat.
“Semangat yang ditunjukkan pemilih cukup tinggi dan saya lihat petugas juga cukup semangat. Jadi harapan saya semoga segala berjalan lancar dan tertib,” tambah beliau.
Hermono sebelum ini dilapor menjangkakan sekitar 30 peratus daripada 832,420 rakyat negara itu yang menetap di Malaysia dan berdaftar sebagai pemilih akan menunaikan tanggungjawab pada Ahad.
Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) menetapkan tempoh bertenang selama tiga hari untuk Pemilu 2024 bagi pemilihan presiden dan anggota legislatif bermula hari ini sehingga 13 Februari sebelum proses pengundian dijadual pada 14 Februari.
Lebih 204 juta rakyat Indonesia akan meraikan pesta demokrasi dalam Pemilu dan Pilpres pada 14 Februari ini.
Kempen bagi tiga pasangan calon presiden dan naib presiden Indonesia berakhir semalam selepas berlangsung selama 75 hari sejak 28 November tahun lalu.
Persaingan itu melibatkan bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto, bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan.