Pemilu 2024: Hari bersejarah buat WTCKL - Irmohizam
Hasimi Muhamad
Februari 11, 2024 13:04 MYT
Februari 11, 2024 13:04 MYT
KUALA LUMPUR: Pemilihan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sebagai lokasi utama undi awal bagi Pilihan Raya Umum (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 disifatkan sebagai hari paling bersejarah sejak penubuhannya kira-kira 43 tahun lalu.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, ia penganjuran terbesar selepas WTCKL dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega COVID-19 sebelum ini.
“Pemilihan kami sebagai lokasi bagi peristiwa bersejarah Indonesia ini menggambarkan keterbukaan dam kesiapsiagaan kami sebagai lokasi penganjuran acara penting bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di peringkat dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses undi awal Pemilu dan Pilpres 2024 di sini pada Ahad.
Tambah Irmohizam, bagi kelancaran proses pengundian itu, pihaknya sudah membuat persiapan sejak seminggu lalu selepas bermesyuarat dengan pihak kedutaan hampir dua bulan.
Ujar beliau, seramai 300 petugas ditempatkan selain turut dibantu pelbagai agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya juga ingin memberi jaminan keamanan, keselamatan dan kelancaran bagi setiap pengundi yang menunaikan tanggungjawab hari ini.
“Malah, pihak kami juga turut mementingkan aspek lain termasuk sistem pengudaraan,” katanya.
Seramai 222,945 pemilih yang layak akan menjalankan tanggungjawab di WTCKL bagi proses undi awal.
Selain itu, lima lagi lokasi untuk mengundi ialah di Johor Bahru dengan 2,684 pemilih, Pulau Pinang (5,375), Kota Kinabalu (2,811), Tawau (20,247) serta Kuching (2,988).
Kira-kira 204 juta rakyat Indonesia akan meraikan pesta demokrasi dalam Pemilu dan Pilpres pada 14 Februari ini untuk memilih presiden, naib presiden, ahli Perhimpunan Perundingan Rakyat dan wakil untuk badan perundangan tempatan.
Indonesia memulakan kempen pilihan presiden 2024 pada November tahun lalu yang menyaksikan tiga calon bersaing untuk pemilihan pemimpin pada 14 Februari ini.
Persaingan itu melibatkan bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto, bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan.
#Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur
#WTCKL
#pusat undi awal
#PEMILU 2024
#Pilpres 2024
#Pilihan Raya Indonesia
#Irmohizam Ibrahim