Pemilu 2024: Hanya 10 peratus warga Indonesia keluar mengundi di WTC
Umavathi Ramayah
Februari 14, 2024 20:29 MYT
Februari 14, 2024 20:29 MYT
KUALA LUMPUR: Dianggarkan hanya 10 peratus daripada 222,945 pengundi berdaftar di Malaysia, yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka sempena Pemilihan Umum (Pemilu) 2024 Indonesia di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Justeru, jurucakap Panitia Pemilihan Luar Negeri Puji Sumarsono menjangkakan proses pengiraan berkemungkinan akan selesai pada tengah malam Rabu.
Menurutnya, sebanyak 223 kotak surat suara (undi) terlibat dalam proses pengundian awal yang berlangsung di WTC pada Ahad lalu.
"Surat suara daripada Kotak Suara Keliling (KSK) adalah termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Perak, Kelantan dan Terengganu," katanya ketika ditemui pemberita di pusat pengiraan undi WTC, di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Puji turut mengulas mengenai dakwaan Panitia Pengawas Pemilu Luar Negeri KBRI Kuala Lumpur, Rizky Al Farizie bahawa wujudnya 'undi hantu' dalam undi pos seperti yang ditularkan di plarform X, sekali gus menggesa agar undi pos dilaksanakan.
"Setakat ini kita masih belum menerima sebarang arahan dan proses pengundian masih diteruskan.
"Saya sahkan beberapa cadangan yang disyorkan oleh Panitia Pengawas Pemilu Luar Negeri KBRI Kuala Lumpur," ujarnya.
Dalam video yang tular di platform itu, kelihatan seorang individu sedang menanda ratusan kertas undi yang sepatutnya diserahkan kepada pengundi pos.
Puji memmberitahu, perkara tersebut sebelum ini pernah terjadi dalam Pemilu 2019.