Pemilu 2024: 275,000 rakyat Indonesia dijangka mengundi di Malaysia

Umavathi Ramayah
Februari 6, 2024 21:22 MYT
Hermono menjangkakan 30 peratus daripada keseluruhan 832,000 rakyat Indonesia yang mendaftar sebagai pengundi dan menetap di Malaysia akan mengundi untuk PEMILU. - Foto fail/KBRI Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR: Kira-kira 275,000 rakyat Indonesia yang tinggal di Malaysia dijangka akan menunaikan tanggungjawab mereka pada Pemilihan Umum (Pemilu), kali ini.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono berkata, jumlah itu adalah 30 peratus daripada keseluruhan 832,000 rakyat Indonesia yang mendaftar sebagai pengundi dan menetap di Malaysia.
Menurutnya, enam pusat pengundian akan dibuka di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak bagi undi awal pada Ahad ini.
"Di pusat pengundian World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur sahaja kita jangka kira-kira 40,000 rakyat (Indonesia) akan turun mengundi," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di Kedutaan Indonesia di sini, pada Selasa.
Selain itu, Hermono memberitahu, untuk melincinkan proses pendaftaran, pihaknya turut menyediakan kira-kira 400 saluran pendaftaran dengan 1,500 petugas di WTCKL.
Sehubungan itu, beliau menasihati rakyat Indonesia supaya menjaga tertib sepanjang pengundian dan meraihkannya sebagai satu pesta demokrasi.
Pendaftaran di pusat pengundian awal katanya, akan dibuka pada pukul 8 pagi hingga 6 petang.
"Saya juga menyeru semua pengundi berdaftar supaya keluar mengundi kepada Pemilu kali ini sangat penting kerana negara bakal menyaksikan pemilihan presiden baharu," ujarnya.
Selain undi awal dan pos, kaedah pengundian bergerak juga dilaksanakan di kilang, bermula Ahad lalu.
Dalam pada itu ketika ditanya mengenai pertindihan undi di Johor, Hermono menjelaskan, perkara itu berlaku mungkin atas kesilapan teknikal.
Namun katanya, adalah sukar untuk seorang pengundi untuk mengundi dua kali memandangkan jari dicalit dengan dakwat.
#pilihan raya umum #Pemilu #Indonesia Memilih #Jokowi
;