Pemilu 2019: Rakyat Indonesia di Pulau Pinang teruja tunai tanggungjawab

Dewi Nur Harasha Alias
April 14, 2019 14:28 MYT
Warga Indonesia yang berada di Pulau Pinang tidak melepaskan peluang untuk membuang undi dalam pengundian awal Pemilihan Umum (Pemilu) di Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) pada Ahad.
Bagi Muriani Ismail,36 tahun, yang berasal dari Medan, Indonesia, dia teruja apabila kali pertama dapat menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin negaranya itu.
Dia yang sudah 10 tahun menetap di Pulau Pinang bersama suaminya yang juga rakyat Indonesia berkata, sebelum ini dia bekerja di kilang dan tidak berkesempatan untuk mengundi, namun pada Pemilu kali ini hasratnya untuk berbuat demikian tercapai.
Hadir dengan mengendong anak kecil dan anak perempuan berusia lapan tahun, Muriani yang kini surirumah sepenuh masa berharap, sesiapapun yang akan mentadbir negara Indonesia pemimpinnya perlu terus membela nasib rakyat dan memastikan Indonesia terus aman sejahtera.
"Rasa seronok lah kerana kita tak pernah mengundi selama ini dan datang undi di sini. Mudah-mudahan Jokowi (Joko Widodo) menang supaya kita selesa dan hidup sejahtera.
BACA: Menjelang Pemilu 2019, tiada lagi sebarang berita pilihan raya
"Hidup aman damai, itu sahaja yang kita mahu," katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.
Turut berkongsi pengalaman, Iskandar Ridwan, 51 dari Jakarta, yang teruja melihat perjalanan proses pengundian di negara ini berjalan dengan lancar.
Menurut Iskandar dia tinggal di Pulau Pinang sejak setahun lalu kerana baru ditukarkan ke sini dan berharap pengundian kali ini akan menjadikan Indonesia lebih maju dari segi ekonomi dan pembangunan.
"Saya daftar di Jakarta... saya pindah ke Pulau Pinang dan hari ini saya memilih. Hari ini cukup baik, saya lihat tertib semuanya, teratur dan mudah-mudahan di Indonesia dapat pemimpin yang baik.
"Harapan saya terhadap pemimpin dan presiden yang baru insya-Allah dapat berbakti kepada rakyat dan negara dengan sebaiknya dan untuk kepentingan rakyat dan bukan kepentingan peribadi," katanya.
Selain Muriani dan Iskandar, ribuan pengundi Indonesia yang berdaftar di Pulau Pinang yang lain hadir menunaikan tanggungjawab mereka memilih pemimpin yang diharap dapat membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada negara asal mereka.
Mereka membuang undi di Pemungutan Suara Luar Negeri (TPLSN) di Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Jalan Burmah.
Terdahulu, tinjauan di KJRI di Jalan Burmah mendapati pengundi hadir seawal jam 7 pagi dan mula beratur untuk proses pengundian.
Suasana hari pengundian di KJRI meriah apabila sesekali kedengaran pengundi yang masih menanti giliran untuk membuang undi melaungkan nama calon pemimpin pilihan masing-masing sebagai tanda sokongan.
Proses pengundian bermula pada 9 pagi dan berakhir jam 5 petang ini.
#Jalan Burmah #Konsulat Jeneral Republik Indonesia #membuang undi #Muriani Ismail #pengundian awal #pulau pinang #warga Indonesia
;