PEMILU 2014: Majikan perlu beri kesempatan pekerja Indonesia buang undi - Pak Agus

Wan Syamsul Amly
April 6, 2014 12:35 MYT
Atase Sumber Manusia Indonesia, Agus Triyanto menunjukkan nombor daftar pemilih pengundian awal PEMILU 2014. --Foto Wan Syamsul Amly
Majikan diminta memberi peluang pekerja mereka yang berasal daripada Indonesia untuk membuang undi awal bagi memilih calon perwakilan legislatif 2014.
Atase Sumber Manusia ‎Indonesia, Agus Triyanto berkata, pelepasan waktu untuk mengundi itu dilihat perlu bagi memenuhi hak serta tanggungjawab pekerja itu sendiri sebagai warga Indonesia yang bekerja di luar negara.
‎"Saya mohon majikan untuk beri kesempatan kepada pekerja Indonesia mereka untuk membuang undi. Ini sekali gus rasa penghargaan yang memberikan pekerja mereka untuk membuang undi dan menunaikan hak dan warga negara indonesia." katanya.
Agus ditemui di pusat pembuangaan undi di Sekolah Indonesia Kuala Lumpur di sini.‎ ‎ Pada Ahad, seramai 1.74 juta pendaftar pemilih tetap warganegara Indonesia di seluruh Malaysia akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih calon perwakilan legislatif.‎
Daripada jumlah itu, 402,730 akan membuang undi di empat pusat mengundi di Kuala Lumpur.‎ ‎ Seramai 714 petugas pemilihan bertugas semasa proses berlangsung di Malaysia.
Tambah Agus, secara keseluruhannya perjalanan pengundian awal di sekitar Kuala Lumpur disifatkan lancar dan tidak mengalami sebarang masalah.
"Dari mula pukul 9 pagi tadi, pengundi datang secara berperingkat dan kehadiran mereka bergantung kepada lokasi kediaman pengundi ini sendiri.
"Kita jangka peratusan keluar mengundi di Kuala Lumpur mencecah 85 peratus daripadanya adalah golongan pekerja," jelasnya.
Pengundi Indonesia yang berada di luar negara perlu menjalani pengundian awal ekoran penjumlahan undi akan dilakukan pada tarikh sama dengan Pemilihan Umum di Indonesia pada 9 April.
Keputusan pemilihan hanya akan diumumkan secara rasmi pada Mei depan dengan penglibatan 130 kedutaan dan konsulat di seluruh dunia.
Setelah berakhirnya pemilihan perwakilan legislatif 2014 ini, mereka kemudian akan memilih calon presiden pula pada Julai nanti.
#Agus Triyanto #Indonesia #Pemilihan Umum Indonesia 2014 #pemilu 2014
;