Pemilik Warung Pok Nong Celup Tepung meninggal dunia
Sinar Harian
November 14, 2024 13:30 MYT
November 14, 2024 13:30 MYT
KUALA TERENGGANU: Pengusaha kedai makan ikan celup tepung tersohor di Terengganu, Md Non Nawang, 68, atau lebih dikenali dengan gelaran Pok Nong meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, pada Rabu.
Ringkasan AI
- Md Non Nawang, pengusaha terkenal Warung Pok Nong Celup Tepung di Terengganu, meninggal dunia pada usia 68 tahun di Hospital Sultanah Nur Zahirah selepas pembedahan darah beku di kepala.
- Pok Nong rebah dan hampir pengsan semasa menghadiri majlis konvokesyen anaknya di Universiti Sultan Zainal Abidin, dan kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
- Warung Pok Nong Celup Tepung, yang terkenal dengan ikan celup tepung, telah diusahakan oleh Allahyarham selama 30 tahun dan popular di kalangan penduduk setempat serta pelancong luar Terengganu.
Anaknya, Nur Izzati, 25, berkata, bapanya yang juga pemilik Warung Pok Nong Celup Tepung menghembuskan nafas terakhir jam 11.45 malam selepas ditidurkan bagi pembedahan darah beku di kepala.
Menurutnya, sebelum itu bapanya rebah dan hampir pengsan ketika menghadiri majlis konvokesyen adiknya, Nor Arissyah, 24, di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak, Kuala Nerus, jam 2 petang pada Selasa lalu.
"Ketika perarakan akademik berlangsung, ayah tiba-tiba jatuh sebelum dibantu oleh petugas untuk dikejarkan ke Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) dan dibawa ke HSNZ untuk rawatan lanjut.
"Semalam dia ditidurkan untuk pembedahan akibat pendarahan dalam kepala atau strok tahap 4, bagaimanapun arwah ayah disahkan meninggal dunia malam tadi," katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.
Menurutnya, sebelum menghadiri majlis konvokesyen itu, arwah bapanya demam selama dua hari.
Katanya, bagaimanapun arwah tetap mahu menghadiri majlis konvokesyen adiknya yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan Dengan Kepujian.
Menurut Nur Izzati, jenazah bapanya akan disembahyangkan jam 11 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hajar, Kampung Gong Awang Lib dekat Mengabang Telipot, Kuala Nerus.
Allahyarham Md Non yang mendirikan rumah tangga bersama isterinya, Radziah Omar, 58, dikurniakan lapan cahaya mata.
Warungnya yang beroperasi di Jalan Pantai, Kg Telipot, di Kuala Nerus popular dalam kalangan penduduk setempat dan pelancong luar Terengganu.
Terkenal dengan jolokan Pok Nong ICT (ikan celup tepung), warung yang menyediakan aneka makanan laut segar diusahakan Allahyarham sejak 30 tahun lalu. -Sinar Harian