Pemilik tanah sambut baik cadangan jadikan lokasi batu granit porfiritik sebagai geotapak

Aida Aziz
Ogos 27, 2022 08:30 MYT
Nolee Ashilin berkata, pihak Jabatan Mineral dan Geosains telah memulakan proses penilaian di lokasi batu granit porfiritik di Gunung Bujang Melaka, Kampar. - Foto ihsan Facebook Pemerhati Lembah Kinta
IPOH: Pemilik tanah di lokasi batu granit porfiritik di Gunung Bujang Melaka, Kampar terbuka dengan cadangan menjadikan kawasan unik itu sebagai satu lagi geotapak di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, maklum balas positif itu diperoleh setelah perjumpaan diadakan bersama pihak berkaitan dan pemilik tanah di lokasi terbabit.
Bagaimanapun, katanya, antara perkara yang menjadi perhatian ketika ini ialah isu keselamatan dan prosedur yang perlu dipatuhi sebelum membenarkan kawasan itu dibuka untuk pengunjung.
"Kerajaan negeri, bersama pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Perbadanan Taman Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Tourism Perak telah mengadakan lawatan untuk lihat granit yang tular dalam media sosial.
"Kita mendapati dari segi geologi memang mempunyai nilai yang sangat tinggi daripada segi untuk dijadikan geotapak.
"Bagaimanapun, ada isu-isu berkaitan iaitu berkenaan hak milik tanah, keselamatan dan beberapa aspek lain yang perlu kami kaji semula, sebelum sebarang keputusan dibuat.
"Pemilik tanah di situ pula memang cenderung kepada pembukaan (untuk orang ramai) namun dia pun prihatin tentang keselamatan, kerana apa yang dibangunkan di situ hanya untuk kegunaan sendiri dan bukan untuk pelancong," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang status terkini setelah perjumpaan dan lawatan diadakan di lokasi tersebut.
BACA: Perak kaji kesesuaian lokasi batu granit porfiritik diangkat sebagai geotapak
Dalam pada itu, Nolee Ashilin menambah pihak JMG juga telah memulakan proses penilaian di lokasi batu granit porfiritik berkenaan.
"Mereka melihat ke arah apakah nilai geotapak yang ada di situ dan sekiranya sesuai kita akan angkat sebagai geotapak baharu dengan persetujuan pemilik atau pemilik tanah.
"Pemilik tanah tidak ada halangan untuk jadikan geotapak, cuma dari segi kemasukan kebenaran dan keselamatan tempat adalah isu yang perlu dibincangkan dengan lebih lanjut.
"Belum ada jangkaan bila ia akan diangkat sebagai geotapak kerana ia membabitkan peranan dua pihak, termasuk hasil kajian di kawasan itu," katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan, perbincangan dan pemantauan akan dibuat dalam masa terdekat dengan pihak berkaitan bagi melihat kesesuaian lokasi batu granit porfiritik di Gunung Bujang Melaka, Kampar diangkat sebagai satu lagi geotapak.
Bagaimanapun, menurut Nolee Ashilin, keputusan itu juga tertakluk kepada kesanggupan pemilik tanah di kawasan itu untuk membangunkan ia sebagai geotapak.
#Batu Granit Porfiritik #Gunung Bujang Melaka Kampar #Nolee Ashilin Mohammed Radzi #geotapak
;