Pemilik syarikat mengaku tidak bersalah tipu urusan umrah
Bernama
Februari 2, 2024 17:27 MYT
Februari 2, 2024 17:27 MYT
SEREMBAN: Seorang pemilik syarikat pelancongan dan umrah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya seorang lelaki berkaitan pakej umrah, tahun lepas.
Muzzamil Soliheen Musa, 47, didakwa menipu seorang lelaki berusia 53 tahun hingga mendorong mangsa menyerahkan RM115,030 dan beliau tidak akan menyerahkan wang itu jika tidak diperdaya oleh tertuduh.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di syarikat miliknya di Nilai dari 23 hingga 30 Jan 2023.
Hakim Mohamad Kamil Nizam membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan melapor diri ke balai polis berdekatan setiap bulan manakala pasport diserahkan pada mahkamah serta dilarang mengganggu saksi sehingga kes selesai.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya M Kalaivaanan manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Musthafa.
Muzzamil Soliheen turut minta dibicarakan atas pertuduhan memperdaya seorang wanita berusia 31 tahun untuk menyerahkan wang RM51,330 bagi tujuan sama di syarikat berbeza dari 13 Jan hingga 23 Feb 2023.
Majistret Nurul Saqinah Rosli membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang serupa.
Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman minimum penjara setahun maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan bagi kes kedua dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi.
Kedua-dua kes akan disebut semula bagi serahan dokumen masing-masing pada 11 dan 12 Mac ini.
-- BERNAMA