Pemilik syarikat direman tiga hari cuba rasuah pegawai SSM

Astro Awani
Ogos 29, 2020 14:45 MYT
Pemilik sebuah syarikat direman tiga hari oleh SPRM bagi membantu siasatan kes cubaan merasuah pegawai SSM. - Gambar SPRM
Seorang pemilik syarikat direman tiga hari bagi membantu siasatan kes pemberian rasuah kepada pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Individu berkenaan direman bermula Sabtu kerana dipercayai bertanggungjawab menukar pemilikan saham syarikatnya kepada syarikat milik rakannya menggunakan dokumen palsu.
Difahamkan, pemindahan saham tersebut tidak didaftarkan oleh SSM dan turut melibatkan Setiausaha Syarikat.
Perintah reman sehingga 31 Ogos itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi Sabtu.
Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 66 tahun tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya pada pukul 3 petang Jumaat ketika hadir memberikan keterangan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.
#Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya #Mahkamah Majistret Putrajaya #Putrajaya #reman #SPRM #SSM #Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM
;