Pemilik syarikat didakwa buat tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya Perkeso

Adie Sufian Zulkefli
Januari 24, 2023 14:16 MYT
Muhammad Syakireen (kiri) membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa hari ini. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Seorang lelaki yang juga pemilik sebuah syarikat dihadapkan di Mahkamah Sesyen, Alor Setar hari ini atas lima pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bernilai RM17,500, dua tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Syakireen Othman, 36, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat telah mengemukakan lima dokumen borang pengesahan pekerja, Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama Round Globe Enterprise bertarikh 30 dan 1 Jun 2021 kepada seorang wanita yang merupakan Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso Kedah.
Tertuduh didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen-dokumen tersebut mengandungi pernyataan palsu mengenai lima individu sedangkan senarai mereka yang dinamakan itu bukan pekerja syarikat berkenaan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara Jun 2021 hingga Julai 2021 di Wisma Perkeso, Jalan Teluk Wan Jah.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 (Akta 694) manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu jika butir matan palsu itu dapat dinilai atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu Zulfadli memohon supaya mahkamah menetapkan kadar jaminan sebanyak RM50,000 bagi kesemua pertuduhan dihadapi tertuduh yang merupakan bapa kepada dua anak berusia lima dan enam tahun itu.
Muhammad Syakireen merayu jaminan itu dikurangkan dengan alasan dia perlu menanggung keluarga termasuk ibu saudaranya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) selain mendakwa kepercayaan pelanggan terhadapnya terjejas dan hasil jualan berkurang sejak ditahan serta disiasat SPRM.
Hakim kemudiannya menetapkan agar tertuduh diikat jamin oleh isterinya dengan jumlah RM7,000 yang kemudiannya difahamkan mereka membayar jaminan tersebut.
Mahkamah turut memerintah tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM Alor Setar pada minggu pertama setiap bulan dengan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 27 Februari ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.
#program penjana Perkeso #tuntutan palsu #SPRM #Alor Setar
;