Pemilik stesen minyak didenda RM100,000 benarkan jual diesel dalam tong

Bernama
Oktober 2, 2023 15:54 MYT
OKS didakwa telah melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang tidak membenarkan penjualan bahan api diesel dan semua gred petrol kecuali untuk tangki asal kenderaan berkenaan. - Gambar hiasan
PETALING JAYA: Seorang pemilik stesen minyak didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana membenarkan penjualan diesel di dalam tong dram yang melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu ke atas Abdul Wahab Jaafar, 72, selaku orang kena saman (OKS) selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kesnya hari ini.
Mengikut pertuduhan, Abdul Wahab sebagai pemilik perkongsian stesen minyak K.A. Surijaya Enterprise, yang memegang lesen barang kawalan, didakwa gagal mematuhi Akta Kawalan Bekalan dengan menjual bahan api diesel kepada Yau Poh Trading Sdn Bhd yang diisi ke dalam tong dram di atas dua lori masing-masing berjumlah 1,140 liter dan 1,080 liter.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di stesen minyak BHP, Kampung Baharu, Puchong, dekat sini pada 9.30 malam, 22 Mac lepas.
Akibat perbuatan itu OKS didakwa telah melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang tidak membenarkan penjualan bahan api diesel dan semua gred petrol kecuali untuk tangki asal kenderaan berkenaan.
Abdul Wahab didakwa mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Suhana Mohd memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira faktor ketirisan subsidi menyebabkan kerajaan rugi besar kerana bantuan kepada rakyat diselewengkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Kerajaan berbelanja berbilion ringgit setiap tahun untuk subsidi minyak dan perbuatan OKS merosakkan landskap ekonomi negara selain menyebabkan ketidakjaminan bekalan minyak diesel dalam negara.
"Kesalahan yang dilakukan OKS adalah serius dan saya mohon hukuman berat berbentuk pencegahan terhadap tertuduh," katanya.
Tertuduh diwakili peguam Tharamjit Singh.
-- BERNAMA
#kpdn #pemilik stesen minyak #jual diesel dalam tong #mahkamah
;