Pemilik Rumawip dibenarkan sewa kediaman dengan bersyarat

Bernama
Januari 6, 2018 15:07 MYT
TENGKU ADNAN: Kita faham dan tidak mahu membebankan.
Kementerian Wilayah Persekutuan akan membenarkan pemilik Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) menyewakan kediaman mereka kepada pihak ketiga dengan bersyarat.
Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata antara syarat yang sedang dipertimbangkan adalah pemilik ditukar berkhidmat ke negeri lain setelah membeli rumah itu.
"Kita faham dan tidak mahu membebankan, contohnya jika pemilik ditukar bekerja ke Sarawak, boleh disewakan daripada rumah itu dibiarkan kosong.
Pemilik juga tidak dibenarkan untuk menyewakan kediaman kepada warga asing, perkara ini akan dipantau JMB (Badan Pengurusan Bersama) dan tindakan akan diambil jika ingkar " katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Penyerahan Kunci Rumawip Residensi Sentulmas di sini hari ini.
Sebelum ini, Rumawip mensyaratkan unit yang dibeli perlu didiami oleh pembeli dan tidak boleh disewakan.
Rumawip Residensi Sentulmas yang telah siap untuk didiami oleh 351 pemilik merangkumi satu blok setinggi 30 tingkat dan unit berkeluasan 900 kaki persegi itu mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik mandi serta kemudahan parkir berbumbung.
Projek itu berjaya disiapkan 23 bulan lebih awal daripada tarikh jangkaan dan merupakan Rumawip kedua berjaya disiapkan selepas Residensi Pandanmas.
--BERNAMA
#RUMAWIP #sewa kediaman #syarat sewa #Tengku Adnan Tengku Mansor
;