Pemilik rumah, tanah kosong di Bukit Tunku akan diberi notis pembersihan
Rahimah Abdullah
Oktober 6, 2018 11:20 MYT
Oktober 6, 2018 11:20 MYT
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menghantar notis kepada pemilik tanah atau rumah yang tidak berpenghuni di Bukit Tunku di sini bagi membolehkan mereka melakukan kerja-kerja pembersihan kediaman masing-masing.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, langkah itu dilakukan selepas perbincangan antara pihaknya dengan DBKL dan Pejabat Tanah dan Galian.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Segambut menjelaskan, kerjasama itu penting memandangkan masalah rumah terbiar dan kosong dibimbangi menjadi sarang binatang berbisa seperti ular selain tempat pembiakan nyamuk.
"Masalah di sini adalah rumah-rumah terbiar yang tiada orang duduk dan tapak banglo yang kosong. Penduduk khuatir kalau rumput panjang, ular dan penceroboh kerana ada struktur lama masih dekat situ.
"Jadi pejabat kita bersama DBKL, Pejabat Tanah dan Galian akan selaraskan di mana DBKL akan menghantar notis kepada pemilik tanah atau pemilik rumah untuk bersihkan dalam tempoh yang diberikan dalam notis dan jika mereka tidak buat, pihak berkuasa akan masuk buat dan bil kepada mereka. Ini kena buat berkala setiap 2 3 bulan sekali tu pastikan ia tidak berulang," katanya semasa ditemui semasa menyertai Projek Gotong Royong Persatuan Penduduk Bukit Tunku di sini hari ini.
Katanya, walaupun ada kalangan pemilik rumah dan tanah tidak tinggal di kediaman mereka, namun, mereka sepatutnya bertanggungjawab membersihkan kawasan berkenaan.
Susulan itu, acara gotong royong yang dilakukan sekali gus memastikan kerja pembersihan dapat dilakukan selain mengerat hubungan kejiranan.
"Kalau tiada aktiviti ini, maka orang tak bertemu dengan jiran. Oleh sebab itu, program ini sangat bagus. Program gotong royong seperti ini sangat bagus kerana kanak-kanak juga keluar, anak muda juga keluar," ujarnya.
Sementara Presiden Persatuan Penduduk Bukit Tunku, Muthanna Abdullah mengakui rumah kosong dan tanah terbiar menjadi masalah paling besar kepada penduduk.
Ia berikutan kediaman yang ditinggalkan tanpa pembersihan hanya menyebabkan pembiakan nyamuk dan sarang binatang berbisa seperti ular.
"Masalah di sini banyak melibatkan rumah kosong, tanah runtuh, longkang pecah, jalan berlubang, lampu jalan yang perlu ditukar. Namun masalah yang paling besar ialah rumah kosong kerana ia menyebabkan masalah pembiakan nyamuk dan ular," katanya.
Seramai 90 orang menyertai Projek Gotong Royong Persatuan Penduduk Bukit Tunku di sini.
#anak
#bukit tunku
#DBKL
#Kanak-kanak
#keluarga
#Kuala Lumpur
#menteri
#Parlimen
#presiden
#rumah
#tanah runtuh
#wanita