Pemilik motosikal berkuasa tinggi disalah anggap sebagai polis trafik
Bernama
Jun 19, 2016 12:28 MYT
Jun 19, 2016 12:28 MYT
Kehadirannya di jalan raya sering disalah ertikan kerana menunggang motosikal jenis Honda CBX750 berwarna putih selain berpakaian jaket ibarat anggota trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Itu yang dialami individu yang ingin dikenali sebagai Wak, 40-an yang menjadi pemilik 'kuda putih', motosikal berkuasa tinggi terpakai yang dibelinya dengan harga RM4,000, ketika lelongan, kira-kira tujuh tahun lalu.
"Tidak dapat dinafikan kehadiran saya di jalan raya membuatkan pemandu kenderaan lain terkejut, mungkin mereka ingat saya polis trafik memandangkan motosikal saya menyerupai anggota keselamatan itu.
"Bagaimanapun, pemandu kenderaan akan sedar saya pengguna jalan raya biasa apabila motosikal tidak mempunyai sebarang logo polis atau siren," katanya.
Katanya, pembeli motosikal yang pernah digunakan oleh PDRM itu dinasihat untuk menanggalkan aksesori seperti logo polis dan siren yang terdapat pada motosikal berkenaan.
Semakan Bernama mendapati, ruangan iklan dalam talian menjadi platform bagi beberapa penjual persendirian menjalankan urusan jual beli motosikal terpakai itu secara terbuka.
Seorang penjual di laman web jual beli popular tempatan mengiklankan sebuah motosikal yang masih lengkap dengan aksesori asal serta tertera perkataan polis.
Ketika dihubungi, penjual berkenaan berkata motosikal berkenaan yang baharu diiklankan kira-kira awal bulan ini masih belum dijual, bagaimanapun ketika disoal lanjut, beliau tidak memberi respons.
Terdapat juga beberapa motosikal jenis sama yang telah diubah suai namun masih mempunyai aksesori polis termasuk siren, dijual di laman web sama.
Bagi Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Nadzri Hussain, beliau tidak menolak kemungkinan penjualan motosikal itu di pasaran secara terbuka mendorong kepada kewujudan aktiviti pengiring haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Mungkin juga mereka mengambil peluang menjalankan kegiatan itu dengan menggunakan motosikal CBX750 yang digunakan polis bagi mengaburi orang ramai," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Nadzri berkata orang awam yang memiliki motosikal berkuasa tinggi yang menyerupai anggota polis trafik itu dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakannya.
"Jangan salah guna motosikal itu untuk buat kegiatan mengiring kenderaan atau aktiviti lain, ia suatu kesalahan.
"Kebiasaanya orang awam memiliki motosikal itu daripada lelongan yang dibuat oleh polis dan dalam perjanjian, mereka telah diminta menanggalkan semua aksesori seperti siren dan lampu pada motosikal itu," katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata mana-mana pihak atau individu tidak dibenarkan menambah atau memasang siren pada kenderaan mereka.
Tiada perundangan yang diperuntukkan untuk membenarkan mana-mana pihak selain polis dan JPJ untuk berbuat demikian, katanya.
"Kita memang tidak akan lulus sekiranya terdapat permohonan untuk memasang siren pada kenderaan mereka," katanya kepada Bernama.
Ditanya sama ada JPJ akan menyekat penjualan siren di kedai-kedai aksesori kereta, beliau berkata kuasa berkenaan terletak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
"Pihak JPJ tidak mempunyai hak untuk menghalang penjualan siren berkenaan kerana kebenaran import masuk produk itu (siren) di bawah penguatkuasaan KPDNKK," katanya.