Pemilik kolam ikan kelisa tidak berniat tuntut semula ikan terlepas

Bernama
Mei 31, 2024 23:34 MYT
Tular di media sosial baru-baru ini tentang penduduk Kampung Tengah, Renggam yang menemui banyak ikan kelisa di sungai dan parit kampung terbabit, yang dilaporkan berasal dari sebuah kolam ternakan yang pecah. - Sinar Harian
KLUANG: Pemilik kolam ikan kelisa di Renggam dekat sini tidak berniat untuk menuntut semula ikan miliknya yang ditangkap orang ramai setelah kolam ikan berkenaan pecah, Selasa lepas.
Menurut Ng Ah Phau, dia sedar usaha untuk mendapatkan semula kira-kira 15,000 hingga 18,000 ikan ternakan terbabit adalah mustahil selain ia merupakan satu perkara yang rumit.
"Ikan-ikan ini sudah hanyut ke merata tempat, saya harap tiada pihak yang menyalahkan atau mengecam penduduk kampung berhampiran," katanya ketika dihubungi di sini.
Ng mendakwa kolam ikannya pecah disebabkan oleh projek pembinaan infrastruktur dan berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan berhubung perkara itu.
Terdahulu penduduk Kampung Tengah, Renggam dilapor mahu berjumpa pemilik ikan kelisa sebelum memulangkan ikan yang mereka tangkap selepas haiwan itu terlepas dari kolam ternakan.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai penduduk kampung "kenduri" dengan memasak ikan yang berharga kira-kira RM10,000 seekor.
-- BERNAMA
#pemilik kolam ternakan #ikan kelisa #Kampung Tengah #renggam #kolam pecah
;