Pemilik kedai gambar cedera ditetak bekas pekerja
Bernama
April 21, 2022 19:43 MYT
April 21, 2022 19:43 MYT
GEORGE TOWN: Seorang pemilik kedai gambar di Jalan Penang di sini cedera di beberapa bahagian badan dan kedua-dua tangan selepas diserang dan ditetak bekas pekerjanya yang menuntut gaji berjumlah RM1,700 hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata lelaki berusia 62 tahun berkenaan sedang berada di dalam premis tersebut ketika didatangi suspek berusia 48 tahun yang bersenjatakan kapak dan pisau lipat pada 9.50 pagi.
"Kejadian bermula apabila suspek yang diberhentikan kerja pada 12 April lepas datang ke kedai tersebut kerana mahu menuntut gaji berjumlah RM1,700 yang belum dibayar oleh warga emas berkenaan.
"Berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek menetak mangsa berikutan berang dengan tindakan mangsa yang tidak mahu membayar gajinya. Semasa kejadian itu, tiada sesiapa (pelanggan atau pekerja) di dalam kedai itu," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Amanat Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.
Mohd Shuhaily berkata kejadian itu disedari orang ramai yang kemudian menghubungi polis dan suspek berjaya ditahan anggota unit peronda polis ketika masih berada di kedai tersebut.
Beliau berkata mangsa dirawat di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan stabil manakala suspek akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Terdahulu dalam ucapan menerusi amanat itu, Mohd Shuhaily berkata hanya 10 peratus daripada 5,474 pegawai dan anggota polis di Pulau Pinang dibenarkan bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri.
"Yang lain (pegawai dan anggota) akan bertugas seperti biasa dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.
-- BERNAMA