Pemilik kedai di Kampar ditahan jual seragam polis tanpa permit

Hakim Rahman
Januari 22, 2016 09:53 MYT
Antara barangan yang dirampas ialah satu pangkat inspektor percubaan, sebungkus tali pinggang PDRM, sebungkus lencana topi, bahu dan lencana sedia berkhidmat PDRM. - Foto Astro AWANI
Seorang pemilik kedai pakaian seragam ditahan polis kerana disyaki membekalkan seragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa permit sah.
Menurut Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, pemilik kedai itu disyaki telah menjalankan perniagaan tersebut sejak setahun lalu.
Dalam serbuan kira-kira 1.30 petang Khamis itu, pihaknya merampas pelbagai kelengkapan pakaian polis dianggarkan bernilai RM2,500.
Antara barangan yang dirampas ialah satu pangkat inspektor percubaan, sebungkus tali pinggang PDRM, sebungkus lencana topi, bahu dan lencana sedia berkhidmat PDRM.
"Adalah menjadi kesalahan, seseorang yang bukan pegawai polis memiliki, membuat, menjual dan membekalkan secara haram peralatan-peralatan yang dibekalkan kepada pegawai polis dan pengunaan pakaian seragam polis tanpa kebenaran sah dari pihak polis,"
Beliau berkata demikian dalam sidang media di IPD Kampar di sini, hari ini.
Beliau turut mengingatkan mana-mana pihak yang mempunyai peralatan menyerupai lambang polis supaya menyerahkannya di balai berdekatan.
Tambahnya, pemilik kedai berkenaan bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 89(A) Akta Polis 1967.
#Ng Kong Soon #PDRM #Tahan