Pemilik kafe teruja Jokowi, Anwar singgah jamah pisang goreng
Faida Rahim
Jun 8, 2023 15:05 MYT
Jun 8, 2023 15:05 MYT
KUALA LUMPUR: Peluang menyediakan minum petang istimewa buat Presiden Indonesia, Jokowi Widodo merupakan pengalaman yang tidak akan dilupakan.
Pemilik Kafe Masa, Muhd Syafiq Mohd Salleh mengakui begitu teruja mendapat peluang bertemu Jokowi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi.
“Saya dimaklumkam seminggu lebih awal bahawa Pak Presiden dan PM akan datang ke kafe.
“Macam tak percaya Jokowi datang singgah minum dan makan. Walaupun sekejap, ini momen yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini hari ini.
Menurut Syafiq, menu pisang goreng, lepat kelapa dan kuih lapis antara menu yang disediakan buat Jokowi dan PM Anwar.
“Selain itu saya juga bancuh kopi special untuk mereka berdua termasuk delegasi yang turut serta pada hari ini.
“Alhamdulillah, mereka nampak happy tadi,” katanya.
Presiden Jokowi meluangkan masa bertemu dengan orang ramai kira-kira sejam di Pasar Jalan Raja Alang di Chow Kit ditemani PM Anwar, pada Khamis.