Pemilik haiwan liar perlu waspada, ia boleh bertukar ganas

Bernama
Jun 20, 2019 06:27 MYT
Seorang warga emas maut akibat digigit seekor beruk jantan dalam kejadian di Kuala Nerus. -Gambar fail
Haiwan liar masih cenderung bertindak ganas meskipun telah dipelihara sejak kecil dan hidup jauh dari habitat asal mereka.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata orang ramai kadang kala tidak menyedari perkara itu malah ada yang mengabaikan keganasan haiwan berkenaan kerana sayang dan telah lama dibela.
"Kita hendaklah sentiasa beringat bahawa hidupan liar tidak sepenuhnya jinak walaupun dipelihara sejak kecil dan haiwan tersebut masih cenderung pada naluri asal mereka," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai kejadian di mana seorang warga emas maut akibat digigit seekor beruk jantan baru-baru ini.
BACA: Warga emas maut diserang beruk
Kejadian itu berlaku di Kampung Leban Besar, Tepoh Kuala Nerus dan beruk terbabit merupakan peliharaan mangsa, Ngah Muhammad, 72, sejak lima tahun lepas.
Bagaimanapun Abdul Malek berkata kecederaan yang disebabkan haiwan liar jarang berlaku dan mengikut rekod Perhilitan Negeri Terengganu hanya terdapat satu kes tahun ini dan dua kes tahun lepas.
Berikutan itu beliau menasihatkan orang ramai supaya merujuk kepada Perhilitan sebelum bertindak memelihara hidupan liar dengan mendapatkan maklumat tepat terutama berkaitan risiko pemeliharaan.
"Pemilik perlu memastikan keperluan dan sensitif dengan perubahan perlakuan haiwan yang dipelihara," katanya.
Abdul Malek turut menyarankan orang ramai supaya segera memaklumkan kepada Perhilitan apabila berlaku kes yang melibatkan haiwan liar.
-- BERNAMA
#beruk jantan #Dr Abdul Malek Mohd Yusof #haiwan liar #Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara #Kampung Leban Besar #Ngah Muhammad #Pemilik haiwan liar #Perhilitan #Perhilitan Terengganu #terengganu #warga emas
;