Pemilik gerai mi RM1 tidak berhasrat naikkan harga

Bernama
Jun 19, 2020 11:47 MYT
Zailani melayan pelaggan yang datang ke gerainya di Kampung Delima, Tumpat. -Bernama
Walaupun segelintir peniaga cenderung menaikkan harga jualan dengan memberi alasan kenaikan harga bahan mentah, Zailani Ismail, tetap menjual makanan dan minuman di gerainya dengan harga RM1.
Dia tidak kisah dengan harga sedemikian di gerainya dinamakan Kedai Mak Aji Stesen Kampung Delima di Tumpat, kerana percaya rezeki Allah luas, malah bersyukur dengan kehadiran pengunjung yang tidak pernah putus.
Setelah gerainya yang menjual pelbagai hidangan sup seperti mi, kuetiau, makaroni dan bihun sup serta nasi air dengan RM1 semangkuk, tular di media sosial tahun lepas, dia tidak menang tangan melayan pelanggan.
"Berita saya ini tular setelah disiarkan sebuah akhbar dan televisyen tempatan dan selepas itu rezeki kedai mi 'seriya' (RM1) ini mendapat perhatian dan dikunjungi ramai... sejak itu juga rezeki saya menjual makanan dengan harga RM1 terus bertambah.
"Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya pernah menggaji seramai 11 pekerja kerana menerima lebih 200 orang mengunjungi kedai saya setiap hari," katanya di sini pada Jumaat.
Zailani, 48, yang menghidap penyakit kencing manis dan buah pinggang itu juga tidak bercadang untuk menaikkan harga, walaupun perniagaannya semakin maju, malah akan membuka beberapa cawangan tidak lama lagi.
Selain makanan, Zailani juga menjual minuman segera dengan harga yang sama dan ketika dikunjungi, kedainya dipenuhi pelanggan terutama kanak-kanak dari sekitar kampung tersebut.
Selain itu, anak Zailani juga turut menjual makanan ringan seperti sosej bakar, juga pada harga RM1 secucuk.
Perniagaan yang menggunakan resipi tersendiri itu turut dibantu isteri, Noraizah Awang, 50, dan seorang anaknya, Siti Aminah, 20.
"Saya sanggup berkongsi rahsia kepada mereka yang berminat untuk mengubah hidup walaupun menjual makanan dengan harga murah kerana saya percaya rezeki Allah itu luas dengan cara bersedekah seperti ini," katanya.
Seorang pelanggan, Muhammad Aidiel Asyraaf Zabidi, 23, dari Perak berkata dia pada mulanya tidak percaya dengan harga makanan itu.
"Bila saya datang dengan kawan barulah saya percaya dan rasanya pun sedap. Saya berdoa agar rezeki pak cik ini bertambah kerana dia tidak kedekut kerana di kedai lain harganya mungkin RM5 semangkuk," katanya. -BERNAMA
#gerai #Kelantan #makanan murah #media sosial #mi seriya #minuman murah #RM1 #tidak naikkan harga #Tular #Tumpat
;