Pemilik dua pusat jagaan kanak-kanak haram di Alor Gajah didenda
Shuhada Abdul Kadir
Februari 12, 2019 16:14 MYT
Februari 12, 2019 16:14 MYT
Dua pemilik pusat jagaan kanak-kanak masing-masing didenda RM4,000 dan RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah pada Selasa, selepas mengaku bersalah menjalankan aktiviti tidak berdaftar.
Hukuman itu diputuskan Majistret Zaridah Y Abdul Jaapar atas dua pertuduhan berasingan terhadap Siti Syakirah Mukhtar dan Nurul Huda Ramli masing-masing berusia 34 tahun yang menjalankan dua pusat penjagaan kanak-kanak di sekitar Alor Gajah.
Mengikut kertas pertuduhan terhadap Siti Syakirah, dia didapati mengendalikan Pusat Jagaan Ummi Insyirah yang tidak didaftarkan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 di km 4428 Taman Samarinda, Alor Gajah.
Mengikut fakta kes, pusat jagaan berkenaan telah beroperasi sejak 2013 dan menempatkan 33 kanak-kanak ketika serbuan dibuat pada 23 Januari 2018.
Manakala bagi pertuduhan terhadap Nurul Huda, dia didapati menjalankan aktiviti sama di Pusat Jagaan Qaseh Iman di nombor 737, Jalan Zamrud Taman Sri Permata Alor Gajah.
Pusat jagaan itu beroperasi sejak 2017 lalu dan ketika serbuan pada tarikh sama dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati pusat jagaan berkenaan menempatkan 12 kanak-kanak.
Justeru, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Pusat Jagaan 1993 (akta 506) yang boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara selama dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa JKM, Eny Edayu Mat Ali dan Nor Aswana Selamat memohon mahkamah untuk mengenakan hukuman yang setimpal dengan penegasan, keperluan mendaftar pusat jagaan adalah bagi memastikan keselamatan kanak-kanak.
Kedua - dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan dengan alasan mereka telah berusaha untuk mendaftarkan perniagaan dan mengeluarkan sejumlah wang bagi melengkapkan syarat-syarat ditetapkan JKM termasuk membayar upah pelukis pelan.
Zaridah pada penghakimannya menjatuhkan hukuman denda RM4,000 serta penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda terhadap Siti Syakirah serta RM2,000 atau empat bulan penjara jika ingkar terhadap Nurul Huda.
#Alor Gajah
#haram
#jkm
#Kanak-kanak
#keselamatan
#mahkamah
#Mahkamah Majistret
#Majistret Zaridah Y Abdul Jaapar
#penjara