Pemilik bengkel kenderaan bina replika 'Bumblebee' guna barang terpakai
Bernama
Julai 12, 2023 11:30 MYT
Julai 12, 2023 11:30 MYT
IPOH: Minat yang mendalam terhadap dunia robotik mendorong seorang pemilik bengkel kenderaan membina replika robot 'Bumblebee', yang diinspirasikan daripada karakter popular filem Transformers, dengan menggunakan bahan terpakai.
Ahmad Zuruwa Daud, 40, berpuas hati apabila replika robot berwarna kuning dan hitam itu kini berada di hadapan bengkelnya yang terkenal dengan panggilan 'Bengkel Robot' di Taman Klebang Putra setelah sebulan menghasilkannya berpandukan video.
Anak kelahiran Kelantan berkenaan menggunakan barangan terpakai daripada bahagian motosikal dan kereta yang tidak digunakan termasuk tayar skuter bagi menyempurnakan replika tersebut selain menonton video mencipta robot daripada Jepun bagi menghasilkan Bumbleebee.
"Pada asalnya saya buat replika robot secara suka-suka memandangkan banyak bahagian motosikal di bengkel ini yang tidak boleh digunakan lagi.
"Untuk replika Bumblebee ini, saya hasilkan dalam masa sebulan berseorangan. Saya hanya berpandukan pada video dan cuba-cuba bahagian apa yang sesuai untuk membinanya," katanya yang ditemui Bernama di bengkelnya.
Ahmad Zuruwa yang mempelajari bidang automotif sejak tingkatan tiga berkata selain Bumblebee, dia pernah menghasilkan sebuah replika robot ketika bekerja di sebuah pusat servis kenderaan di bandar raya ini.
"Saya diminta membina sebuah replika robot untuk diletakkan di bahagian pintu masuk utama pusat servis. Nak cipta replika robot ini tidak mudah kerana memerlukan imaginasi yang tinggi dan pemikiran yang jauh kerana jika silap, akan menyebabkan bahagian lain (robot) terjejas," katanya.
Beliau berkata replika robot Bumblebee yang dianggar seberat 400 kilogram dan memerlukan lebih kurang enam lelaki dewasa untuk mengangkatnya sering mendapat perhatian orang ramai yang lalu di hadapan bengkelnya malah mengakui pernah menerima tawaran supaya replika itu dijual.
"Sebut sahaja Bengkel Robot, mereka pasti tahu di mana bengkel ini. Ada yang sampai perlu buat pusingan U semata-mata ingin bergambar dengan Bumblebee.
"Ada seorang individu lelaki ingin membeli (Bumblebee) pada harga RM3,000 tetapi saya tidak ada niat untuk menjualnya," katanya yang memiliki empat anak.
Menurut Ahmad Zuruwa beliau turut mendapat banyak permintaan daripada beberapa pihak termasuk sekolah untuk menghasilkan replika robot namun terpaksa menolak sebahagiannya kerana tidak menang tangan untuk membaiki motosikal dan kereta di bengkelnya.
-- BERNAMA