Pemilik bengkel dikenakan tindakan, gagal kemuka senarai harga baik pulih kenderaan
Abd Razak Mohd Ali
Julai 6, 2024 10:30 MYT
Julai 6, 2024 10:30 MYT
IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, pada Jumaat telah mengenakan tindakan kes ke atas sebuah bengkel baik pulih kenderaan di Ayer Tawar, Manjung, kerana gagal mengemukakan senarai sebut harga sebelum melakukan pembaikan.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tindakan itu adalah hasil aduan orang awam yang tidak berpuas hati dengan caj yang dikenakan setelah kenderaan tersebut selesai dibaiki.
Menurutnya, pengadu telah membuat laporan kepada pihak KPDN dan sepasukan pegawai dan anggota Penguat Kuasa KPDN telah melakukan siasatan berdasarkan laporan yang diterima oleh pengadu.
“Hasil siasatan yang dilakukan di bengkel terbabit mendapati pemilik bengkel gagal untuk mengemukakan maklumat berkenaan dengan perkhidmatan pembaikan kepada pengadu @ sebut harga sebelum melakukan apa-apa pembaikan ke atas kenderaan apabila diminta,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, satu tindakan kes telah diambil di bawah Perkara 6 Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) Pindaan 2002, Akta Perlindungan Pengguna 1999 iaitu gagal memberi suatu pernyataan bertulis kepada pengguna sebelum dan selepas perkhidmatan pembaikan dilakukan.
“Jika di sabitkan kesalahan bagi pertubuhan perbadanan, denda tidak melebihi RM100,000 dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya didenda tidak melebihi RM200,000.
“Manakala jika pesalah bukan pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM 50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya didenda tidak melebihi RM100,000,” ujarnya.
Kamalludin berkata, KPDN memandang serius kepada peniaga yang tidak beretika dalam menjalankan perniagaan bagi memastikan hak-hak pengguna terpelihara di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Menurutnya, masyarakat pengguna disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat-maklumat berhubung pembaikan kenderaan di bengkel yang mengelirukan.
Tambahnya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana Cawangan KPDN berdekatan untuk bersama-sama membanteras aktiviti ini daripada terus berlaku melalui saluran-saluran yang ada.