Pemilik banglo Li Koon, pemilik KLIDC Yong Chew hadir di SPRM Putrajaya

Bernama
Mei 6, 2016 15:05 MYT
Pemilik asal banglo yang dijual kepada Guan Eng, hadir di mahkamah bersama peguamnya. - Gambar fail
Wanita yang menjual banglonya kepada Ketua Menteri Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan pemilik syarikat yang membeli tanah di Taman Manggis, George Town, hari ini memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.
Phang Li Koon dan pemilik KLIDC Sdn Bhd Datuk Tang Yong Chew hadir bersama-sama peguam mereka.
Phang tiba pada kira-kira 8.30 pagi dan dilihat memasuki bangunan SPRM dengan ditemani para peguam beliau.
Pada waktu yang sama, Tang tiba bersama-sama peguamnya.
Kedua-dua mereka dipercayai hadir untuk memberikan keterangan.
Kesemua mereka dilihat meninggalkan bangunan SPRM kira-kira 1.30 tengah hari.
Usaha pihak media untuk mendekati Phang, Tang dan para peguam mereka bagaimanapun gagal.
Pembelian banglo di Jalan Pinhorn, George Town oleh Lim dengan harga RM2.8 juta mencetuskan kontroversi apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membangkitkannya pada persidangan Dewan Rakyat dan mendakwa harga itu adalah di bawah nilai pasaran.
Proses jual beli itu juga didakwa mempunyai kaitan dengan penjualan tanah negeri di Taman Manggis yang diperuntukkan bagi pembinaan projek perumahan rakyat termiskin.
KLIDC (Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn Bhd) telah membeli tanah itu daripada kerajaan negeri.
#banglo #Ketua Menteri #Lim Guan Eng #pulau pinang #SPRM
;