Pemilik akaun TikTok ugut bunuh PM didakwa esok

Umavathi Ramayah
Januari 29, 2024 19:33 MYT
Pemilik akaun TikTok yang melakukan melakukan ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri, akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang pemilik akaun TikTok yang melakukan melakukan ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dituduh di mahkamah pada Selasa.
Kenyataan yang dikeluarkan ibu pejabat polis Bukit Aman memaklumkan pemilik akaun @jaiadani89 itu akan didakwa Mahkamah Siber, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada pukul 9 pagi.
Pertuduhan ke atas suspek berusia 34 tahun itu akan dikemukakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada hujung November lalu, polis menahan lelaki berkenaan di Jalan Padang Tembak, Kota Bharu Kelantan selepas memuat naik sebuah video yang menawarkan RM5 juta kepada sesiapa yang menembak mati Perdana Menteri, menteri dan ahli-ahli sebuah parti politik.
Bagaimanapun, video berkenaan dipadamkan selepas itu.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, kes itu disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
#Anwar Ibrahim #Ketua Polis Negara #ugut bunuh PM #TikTok
;