Pemilik akaun media sosial 'Respati' dicari polis

Qaisara Umaiyah
Januari 13, 2021 20:35 MYT
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian. - Facebook
LAHAD DATU: Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan pemilik akaun Facebook dengan nama 'Respati' yang dipercayai memuat naik kenyataan berbaur penghinaan dan ugutan di laman media sosial itu semalam (Selasa, 12 Januari).
Hantaran yang dimuat naik di akaun 'Respati' itu memaparkannya bersama 46 pengguna Facebook yang lain.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk Jauteh Dikun, ketika dihubungi berkata, pihak polis sedang mengesan pemilik akaun ini dan kertas siasatan juga telah dibuka.
"Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek tersebut," katanya.
Dalam hantaran itu, penulisnya bukan sahaja memaki hamun polis, malah mengugut untuk melanggar anggota polis dengan kenderaan dan juga mencadangkan pelbagai jenis senjata untuk digunakan bagi mencabar pasukan keselamatan itu.
Menurut Jauteh, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Pengguna media sosial dinasihatkan agar berhati-hati sewaktu mengeluarkan kenyataan atau komen yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang ataupun jabatan.
#ugut polis #polis #PDRM #akaun facebook #media sosial #Jabatan Siasatan Jenayah #Jauteh Dikun #Akta Komunikasi dan Multimedia
;