Pemilihan Umno: Lima diumum menang tanpa bertanding

Bernama
September 21, 2013 21:45 MYT
Lima, termasuk Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin mengekalkan jawatan masing-masing apabila diumum menang tanpa bertanding hari ini.
Tiga lagi iaitu Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Badruddin Amiruldin, Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita Umno Tan Sri Napsiah Omar dan Pengerusi Tetap Pergerakan Puteri Umno Azlieza Azizan turut mengekalkan jawatan masing-masing setelah tidak ada yang mencabar kedudukan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Tan Sri Tajol Rosli Ghazali mengumumkan kemenangan mereka selepas tiada borang pencalonan lain diterima oleh ibu pejabat untuk bertanding kelima-lima jawatan itu, sehingga proses penyerahan borang pencalonan yang bermula 8 pagi, tamat 5 petang ini.
Beliau berkata senarai penuh calon yang bertanding akan disediakan pada hari Selasa dan pengumuman akan dibuat pada Rabu petang.
Selain lima yang menang tanpa bertanding, proses penyerahan borang pencalonan hari ini menyaksikan 256 individu lain akan bertanding pada pemilihan Umno peringkat pusat bulan depan, termasuk 73 orang bagi jawatan Majlis Tertinggi (MT), Pergerakan Wanita (52), Pemuda (94) dan Puteri (37).
Sementara itu, perebutan bagi jawatan naib presiden Umno menyaksikan tiga penyandang iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bakal ditentang dua 'orang lama' dan satu muka baharu berdasarkan penyerahan borang pencalonan hari ini.
Daripada tiga yang menghantar penyertaan, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, yang juga Menteri Besar Kedah, dilihat berpotensi menggugat kedudukan penyandang berbanding bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Ahmad Zahid kini menjadi Menteri Dalam Negeri manakala Hishammuddin dan Mohd Shafie masing-masing menerajui Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Dalam pada itu, 64 borang pencalonan untuk merebut 25 kerusi MT yang dipertandingkan, diterima selepas proses penyerahan borang pencalonan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berakhir.
Ia menyaksikan beberapa muka baharu menawarkan diri menjadi anggota MT, selain muka lama tampil untuk mempertahan jawatan termasuk tokoh yang membuat kemunculan semula pada pemilihan parti bulan depan.
Antara tokoh yang diketahui akan mempertahankan jawatan dalam MT ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajuddin Abdul Rahman, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Selain itu, anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin, Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan anggota Parlimen Rompin Datuk Seri Jamaluddin Jarjis.
Muka-muka baharu yang menawarkan diri untuk berada dalam MT antaranya Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) Datuk Shamsul Anuar Nasarah, anggota Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Menteri Besar Perlis Datuk Azlan Man.
Selain muka baharu dan penyandang, beberapa tokoh veteran Umno yang pernah menjadi anggota MT membuat kemunculan semula seperti bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat Datuk Seri Siti Zaharah Sulaiman dan Pengerusi Risda yang juga bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.
#Badruddin Amiruldin #Muhyiddin #najib #Pemilihan Umno 2014
;