Pemilihan UMNO: Calon 'underdog' bawa angin perubahan?

Astro Awani
September 26, 2013 08:00 MYT
Apakah keistimewaan calon-calon muka baru yang menawarkan diri untuk jawatan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO dalam pemilihan parti itu Oktober nanti?
Soalan itu diajukan kepada dua calon yang dianggap sebagai 'underdog' dalam persaingan merebut jawatan kedua-dua sayap penting UMNO dalam Buletin 7.45 Astro AWANI pada Rabu.
Calon Ketua Pemuda Syed Rosli Syed Harman Jamalullail berkata: "Kelebihan saya (ialah, saya datang) daripada akar umbi maka saya mampu menyelami dan memahami setiap masalah akar umbi."
Penolong Setiausaha UMNO cawangan pusat bandar Taman Chempaka Pandan yang berusia 37 tahun itu turut memperjelaskan mengapa beliau membuat kejutan dengan melafazkan sumpah laknat sebaik memasuki pentas persaingan merebut jawatan Ketua Pemuda.
Beliau berkata, persepsi masyarakat ketika ini adalah "UMNO itu rasuah."
"Saya mahu membuktikan kepada masyarakat bahawa saya tidak akan mengamalkan rasuah, politik wang, pecah amanah dan segalanya" kata Syed Rosli.
Sejurus mencalonkan diri, Syed Rosli telah melafazkan sumpah laknat untuk tidak membuat sebarang amalan rasuah. Beliau juga mencabar calon-calon Ketua Pemuda, iaitu Khairy Jamaluddin dan Akramsyah Sanusi serta barisan kepimpinan Pemuda untuk turut mengambil tindakan yang sama.
Syed Rosli juga berkata beliau akan cuba menyelesaikan masalah pemuda UMNO yang ketika ini dianggap beliau "kekurangan jati diri".
"Ada pihak cuba mempertikaikan Artikel 153 dan pemimpin Pemuda sekarang telah gagal memberi respon. Kenapa NGO perlu ambil alih tanggungjawab Pemuda UMNO?"
Sementara itu, calon Pergerakan Ketua Puteri Umno Jamilah Hanim Othman berkata beliau akan memperjuangkan empat aspek kuasa yang penting-- iaitu politik, ekonomi, sosial dan teknologi-- sekiranya terpilih sebagai ketua sayap itu.
Ketua Puteri UMNO Petaling Jaya Selatan yang berumur 37 tahun itu juga berkata adalah menjadi satu cabaran untuk menarik golongan wanita di luar gelanggang politik untuk menjadi pemimpin. Itu antara usaha yung akan beliau lakukan.
Untuk jawatan itu Jamilah dicabar Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin.
Pemilihan bagi kedua-dua sayap itu bakal diadakan pada 12 Oktober depan.
#745 #Ashwad Ismail #Awani #jamilah hanim othman #pemuda #Puteri #Syed Rosli Syed Harman Jamalullail #UMNO
;