Pemilihan UMNO 2013: Hanya seorang tarik diri di peringkat MT

Tan Su Lin
September 25, 2013 20:09 MYT
Seramai 269 calon menarik diri bertanding pada pemilihan UMNO 2013, menjadikan semua 33,682 orang merebut jawatan bulan depan.
Perkara itu diumumkan pengerusi jawatankuasa pemilihan parti, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali dalam satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) siang tadi.
Dalam pada itu, seramai 260 calon peringkat Majlis Tertinggi (MT) dan sayap-sayap parti akan bertanding dalam pemilihan UMNO 2013.
"Di peringkat majlis tertinggi 261 orang semua calon oleh kerana calon Naib kKetua Wanita Datuk Hamidah Osman tarik diri jumlah 260 orang bermakna untuk majlis tertinggi dan sayap hanya seorang menarik diri iaitu Naib Ketua Wanita," kata Tan Sri Tajol Rosli.
Jawatankuasa pemilihan akan mengumumkan senarai akhir calon yang layak bertanding pada 7 Oktober depan selepas penelitian terakhir dilaksanakan.
Sementara itu, pemangku pengerusi lembaga disiplin UMNO Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas menegaskan calon bagi peringkat bahagian dan majlis tertinggi yang akan bertanding pada pemilihan UMNO 2013 dilarang berkempen secara bersendirian tetapi melalui saluran yang disediakan parti.
Calon juga dilarang mengeluarkan sebarang manifesto dan jika didapati melanggar tata etika calon boleh dikenakan tindakan.
Ujarnya calon hanya boleh mempromosikan diri melalui program-program yang diaturkan badan perhubungan UMNO setiap negeri.
"Dia hanya boleh bagi bisnes kad memperkenalkan diri siapa. Itu boleh, tak boleh berkempen bagi manifesto janji-janji tak boleh. Asalkan dia tak menghina orang memfitnah orang itu memang melanggar etika. memperkenalkan diri tiada masalah."
Dalam pada itu, badan perhubungan UMNO negeri akan mengeluarkan jadual bagi calon-calon memperkenalkan diri menerusi program yang akan dianjurkan bermula Oktober.
Dianggarkan kira-kira 140,000 perwakilan yang layak memilih pada pemilihan yang bakal berlangsung bulan depan.
#calon #Pemilihan UMNO #Tan Sri Tajol Rosli Ghazali
;