Pemilihan Timbalan Speaker ditangguhkan, beri laluan pindaan wujudkan timbalan ketiga
Hasimi Muhamad
September 14, 2021 15:20 MYT
September 14, 2021 15:20 MYT
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini bersetuju usul pemilihan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat ditangguhkan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-14.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum itu mengemukakan usul untuk menghentikan Peraturan Mesyuarat 6, Perkara 1 yang dijadual dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul pada Selasa.
Menurut Wan Junaidi, keputusan itu bagi membolehkan satu pindaan dibuat membabitkan Perkara 57(1)(b), iaitu membolehkan jawatan Timbalan Speaker yang ketiga diwujudkan.
"Yang mana sebagaimana kita bincangkan supaya kita menetapkan walaupun Perlembagaan itu sendiri tidak menetapkan siapa Timbalan Speaker kerana landasannya, ia dipilih oleh ahli Dewan Rakyat di dalam dewan.
"Maka dengan itu kita akan membuat satu peraturan supaya salah seorang Speaker daripada tiga nanti, kalau diluluskan akan disandang oleh pihak pembangkang. Itu hasrat kerajaan dan sebab itu menangguh.
"Selepas berbincang dengan pihak Jabatan Peguam, pindaan dibawa dan kalau dapat di penghujung sesi ini bacaan kali pertama, dan diluluskan pada sesi Oktober nanti," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14, di sini hari ini.
Sidang kali ini akan terus dikendalikan oleh Datuk Azhar Azizan Harun selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat, sementara Datuk Mohd Rashid Hasnon selaku timbalan beliau.
Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat pada 23 Ogos lalu.