Pemilihan sayap UMNO: Melaka hadapi masalah kekurangan kertas undi

Astro Awani
Oktober 12, 2013 20:15 MYT
Proses pemilihan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Melaka sedikit terganggu apabila terdapat beberapa bahagian mengalami masalah kekurangan kertas undi.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) negeri, Datuk Zaini Md Nor berkata, bagaimanapun pihaknya terpaksa mengambil tindakan menambah kertas undi dengan melakukan salinan dan menyambung penambahan nombor siri terakhir kertas undi yang diterima.
Antara bahagian yang menghadapi masalah berkenaan termasuk Pergerakan Wanita Bahagian Bukit Katil dan Pemuda Bahagian Tangga Batu.
Katanya, perkara itu disedari JPU selepas menerima kertas undi pagi tadi.
“Kurang 15... bagaimanapun setelah proses pengundian telah dilaksanakan kita dapati ada perwakilan-perwakilan yang tidak dapat hadir dan dapat menggantikan kertas undi tersebut. Cuma satu sayap sahaja yang kita tidak dapat menggantikan iaitu tiga kertas undi dan tiga kertas undi ini kita tiada pilihan lain dan kita membuat salinan.
"Kita sahkan kertas undi tersebut dan letak nombor siri yang terakhir ini telah pun dipersetujui wakil wakil calon peringkat jawatankuasa JPU supaya kita tidak menafikan hak mengundi disebabkan kekurangan kertas undi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui di pusat mesyuarat perwakilan dan pemilihan kepimpinan UMNO Bahagian Bukit Katil di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh.
Sementara itu, perkara berkenaan turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengulas masalah berkenaan sememangnya dijangka berlaku.
Katanya, permasalahan seperti itu dijangka rentetan kerana ia pertama kali parti melaksanakan sistem pemilihan baharu.
“Kalau timbul hal hal sebegini mungkin akan timbul mereka boleh berhubung urusetia jawatankuasa.
Mungkin ada keputusan jawatankuasa jadi sebagai panduan saya serah kebijaksanaan jawatan bahagian dan peringkat jawatankuasa bahagian untuk hal ini,” jelasnya.
Hari ini, kira-kira 230,000 perwakilan daripada tiga sayap UMNO akan memilih pucuk pimpinan mereka di peringkat bahagian dan pusat apabila Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO berlangsung serentak di 191 bahagian.
#ayer keroh #kertas undi #pemilihan umno. melaka
;