Pemilihan Raja-Raja Melayu sebagai Pengerusi MKI langkah tepat, elak Islam dipolitikkan

Bernama
Mac 16, 2022 11:30 MYT
AFIFI: Penting Raja memainkan peranan agar unsur parti politik itu tidak masuk dalam bab-bab pengurusan agama Islam. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Langkah memilih Raja atau Sultan sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) adalah tepat bagi mengelak agama Islam daripada terus dipolitikkan di negara ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam Datuk Dr Afifi al-Akiti berkata ini kerana agama Islam terletak di bawah bidang kuasa dan budi bicara Raja-Raja Pemerintah dan dilihat lebih bertepatan untuk MKI dipengerusikan oleh seorang Raja Pemerintah.
"Maksudnya di sini, kita tidak mahu agama Islam di 'parti politikkan' sebab tiap-tiap parti politik yang ada di Malaysia memang ada ijtihad atau ada pandangan mereka sendiri tentang apa polisi yang seharusnya dibuat.
"Jadi, di sinilah pentingnya Raja dalam memainkan peranannya agar unsur parti politik itu tidak masuk dalam bab-bab pengurusan agama Islam," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau juga memberi contoh mengenai kebanyakan negeri beraja seperti Johor, Perak dan Selangor yang tidak membenarkan ahli-ahli politik masuk ke masjid untuk berceramah selain tidak boleh menggunakan platform khutbah Jumaat atau mimbar masjid untuk mengeluarkan kenyataan tentang polisi atau siasah.
"Kita harus ingat agama Islam adalah agama untuk semua dan bukan hanya untuk golongan tertentu. Ini adalah antara saranan dan maqasid di sebalik kenapa ada pembaharuan yang terbaharu ini," katanya.
Pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-258 baru-baru ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dipilih sebagai Pengerusi MKI untuk tempoh dua tahun.
Sebelum ini, secara amalannya jawatan itu disandang Perdana Menteri bermula dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj.
Namun, Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-258 baru-baru ini, telah membuat ketetapan bahawa seorang daripada Raja Pemerintah wajar memenuhi peranan dan tanggungjawab Pengerusi MKI selama dua tahun.
Sementara Perdana Menteri pula dilantik sebagai timbalan pengerusi selaras dengan perakuan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan itu.
Afifi yang juga Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, United Kingdom berkata keputusan itu juga merupakan peluang untuk melakukan perubahan, penambahbaikan dan penstrukturan semula agama Islam di peringkat persekutuan.
Beliau berkata perakuan jawatankuasa itu telah dirunding oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dengan Kerajaan Persekutuan dan telah mencapai persefahaman dan kata sepakat.
"Jadi, adalah lebih bertepatan untuk MKI dipengerusikan oleh seorang Raja Pemerintah.
"Perakuan Jawatankuasa Tertinggi telah menyembahkan kepada Duli-Duli Tuanku tentang pentingnya untuk melakukan pembaharuan struktur institusi agama Islam di negara kita, seperti sudah sampai masanya untuk seorang Raja Pemerintah menerajui MKI ini," katanya.
-- BERNAMA
#Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam #Pengerusi MKI #elak Islam dipolitik #Raja-raja Melayu
;