Pemilihan pucuk pimpinan: Siri jelajah Umno bermula

Astro Awani
Jun 15, 2013 09:07 MYT
Ahli jawatankuasa pemilihan Umno akan memulakan siri jelajah untuk menerangkan kaedah baharu pemilihan parti berkenaan mulai hari ini.
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tujuan jelajah tersebut adalah untuk memberi penerangan kepada setiap anggota parti di peringkat akar umbi.
Tengku Adnan, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata menerusi kaedah baharu itu akan diwujudkan hari pencalonan untuk jawatan Tertinggi parti dan hari pemilihan.
Katanya, semakan senarai calon akan dibuat sebelum nama-nama tersebut diumumkan untuk membolehkan kira-kira 150,000 anggota di peringkat cawangan dan bahagian membuat pengundian.
Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mengumumkan pemilihan Umno kali ini akan dilaksanakan dengan mengguna pakai perlembagaan baharu parti yang membuka peluang kepada hampir 500,000 anggota di peringkat akar umbi menentukan pucuk pimpinan parti.
Pemilihan akan dijalankan selepas mesyuarat peringkat bahagian dan sebelum perhimpunan agung parti.
Satu jawatankuasa pemilihan diketuai bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali ditubuhkan untuk menerangkan kaedah pemilihan baharu berdasarkan perlembagaan parti yang dipinda pada 2009 itu.
Sementara itu, Tengku Adnan berkata pihaknya telah mengeluarkan surat untuk setiap cawangan bermesyuarat yang dijadual diadakan bermula 15 julai hingga 30 Ogos ini.
Namun, katanya, tarikh pemilihan bahagian dan pusat masih belum ditetapkan kerana menunggu maklum balas daripada jawatankuasa pemilihan memilih tarikh yang sesuai.
Pindaan perlembagaan parti Umno yang diluluskan sebulat suara oleh perwakilan Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 2009.
Ia berlaku enam bulan selepas Najib mengambil alih sebagai presiden Umno dalam usahanya untuk menjadikan parti itu lebih lebih telus, inklusif dan demokratik.
Antaranya, pindaan membolehkan sebanyak 146,500 perwakilan untuk memilih secara langsung pucuk pemimpin parti berbanding 2,500 orang sebelum ini. Mereka juga akan memilih secara langsung pimpinan di bahagian masing-masing.
Sistem kuota pencalonan juga dihapuskan yang sekali gus membuka ruang kepada anggota untuk bertanding dengan syarat minimum.
Untuk bertanding mana-mana jawatan Majlis Tertinggi, seseorang perlu pernah memegang jawatan Anggota Majlis Tertinggi atau Anggota Jawatankuasa bahagian selama satu penggal.
Untuk bertanding AJK bahagian, seseorang perlu menjadi anggota parti selama tiga tahun.
Sebelum pindaan perlembagaan parti, jawatan tertinggi parti memerlukan seseorang yang mahu bertanding terlebih dahulu mendapat jumlah atau kuota sokongan tertentu daripada 191 bahagian Umno.
Sistem yang lebih demokratik ini diwujudkan antara lain diharap dapat menangani masalah politik wang di kalangan anggota parti itu.
#kaedah baru #pemilihan parti #Perlembagaan #siri jelajah #Tengku Adnan Tengku Mansor #UMNO
;