Pemilihan Presiden MIC nilai tahap kredibiliti: Penganalisis politik

Bernama
Ogos 11, 2013 13:16 MYT
Pemilihan jawatan Presiden MIC kali ini dilihat sebagai penilaian tahap kredibiliti kepimpinan tertinggi parti dalam menjadikan parti itu terus relevan memperjuang nasib kaum India di negara ini.
Penganalisis politik M. Neela Mehan, berkata proses pemilihan pada September ini dilihat menarik walaupun sedikit genting kerana ia bukan saja berkisar kepada pemilihan presiden semata-mata namun ia pastinya mempengaruhi kemahuan kaum India keseluruhannya.
Katanya, masyarakat India kini masih lagi tercari-cari kelebihan malah sedang mengukur keupayaan Datuk Seri G Palanivel sebagai presiden sejak mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Datuk Seri S Samy Vellu pada Disember 2010.
Katanya, tempoh kurang 21 hari ini perlu dijadikan batu loncatan untuk Palanivel bekerja lebih keras dan membuktikan kewibawaannya dengan turun ke akar umbi bagi menyelami dan mendekati anggota parti supaya dapat terus mengukuhkan kedudukan dan hubungan dengan pengikutnya.
"Landskap politik kini semakin berubah dan kebanyakan perwakilan terdiri daripada golongan muda yang berpendidikan maka proses pemilihan presiden secara demokrasi itu perlu diadakan bagi menjunjung aspirasi semua pihak," katanya kepada BERNAMA, di sini, hari ini.
Katanya, biarpun belum ada kata putus daripada mana-mana pihak untuk mencabar jawatan nombor satu MIC itu, namun desakan perwakilan sekurang-kurangnya membayangkan penyandangnya kemungkinan akan ditentang seorang pemimpin tertinggi parti.
"Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr S Subramaniam masih belum menyatakan ya atau tidak untuk bertanding jawatan itu tetapi desakan pengikutnya menggambarkan akan berlaku pertandingan antara kedua-duanya, namun beliau mungkin sedang menunggu masa yang sesuai untuk menyatakan pendiriannya.
"Kedua-dua pemimpin ini ada kelebihan tersendiri tetapi masyarakat India mahukan bukti dan pembaharuan untuk mereka terus menyokong satu-satunya parti tunggal India yang boleh membela nasib kaum ini ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata, sekiranya jawatan presiden itu dicabar, pemilihan berkenaan seharusnya dilakukan secara demokrasi dan sebarang keputusan diharap tidak akan memecah-belahkan parti.
Neela Mehan mendakwa tinjauan melalui Facebook yang dilakukannya menunjukkan hampir 85 peratus responden daripada masyarakat India mahukan jawatan presiden dipertandingkan supaya ia mampu diberi nafas baharu dan terus menunjukkan parti itu masih relevan.
Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pada 18 Jun lalu menetapkan pemilihan bagi jawatan presiden parti dilakukan pada 22 September manakala 1 September sebagai hari penamaan calon.
Pemilihan jawatan lain seperti timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota CWC pula akan diadakan pada November atau Disember ini.
#kepimpinan tertinggi #MIC #pemilihan parti
;