Pemilihan PM sebagai penerima pertama suntikan vaksin untuk beri keyakinan

Hasimi Muhamad
Februari 17, 2021 14:31 MYT
Khairy Jamaluddin berkata, penilaian risiko juga telah dibuat dengan mengambil kira tugas Tan Sri Muhyiddin Yassin yang perlu berjumpa dengan ramai orang. - Gambar BERNAMA
PUTRAJAYA: Pemilihan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai penerima pertama suntikan vaksin adalah untuk memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa vaksin selamat untuk diambil.
Selain itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, penilaian risiko juga telah dibuat dengan mengambil kira tugas Perdana Menteri yang perlu berjumpa dengan ramai orang.
“Jadi di Malaysia kita nak beri keyakinan kalau ketua sendiri telah mengambil vaksin dan tidak ada apa-apa keputusan yang buruk dan sebagainya. Ini boleh meningkatkan lagi keyakinan orang ramai kepada vaksin,”
katanya dalam sidang media Penyelarasan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) di sini, pada Rabu.
BACA: Muhyiddin penerima pertama suntikan vaksin COVID-19 hujung bulan ini - Khairy
Menurut Khairy, Perdana Menteri dan orang-orang di sekeliling beliau terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19.
Justeru, Perdana Menteri dan ahli-ahli politik berada dalam senarai utama untuk diberikan suntikan vaksin COVID-19.
Muhyiddin akan menerima suntikan vaksin pada 26 Februari ini bersama petugas barisan hadapan.
Malaysia dijangka menerima bekalan pertama vaksin daripada syarikat vaksin Pfizer-BioNTech pada 21 Februari ini.
Dapatkan perkembangan terkini mengenai vaksin COVID-19 di sini.
#vaksin #program vaksinasi #COVID-19 #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #penerima pertama #suntikan #Khairy Jamaluddin
;