Pemilihan PKR: Undi lebih cetus kecoh hingga keputusan dibatalkan

Astro Awani
Mei 5, 2014 09:30 MYT
Gambar arkib: Bendera PKR
Proses pemilihan PKR cabang Nibong Tebal bertukar kecoh apabila keputusan pengundian dibatalkan gara-gara terlebih undi.
Semuanya bermula kira-kira jam 6 petang apabila pihak Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) ingin membuat pengiraan undi di dalam bilik khas, di dewan JKKK Simpang Tiga, Nibong Tebal.
Bagaimanapun, tindakan itu dibantah anggota parti sehingga mencetuskan perang mulut.
Pertikaian tersebut kemudiannya berlarutan sehingga jam 10 malam apabila keputusan pengiraan diumumkan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tambun, Law Choo Kiang, mendapati senarai daftar pengundi dan jumlah kertas undi yang diperolehi tidak sama.
Difahamkan, jumlah kertas undi yang diterima adalah 838 berbanding senarai daftar undi sebanyak 671.
Calon ketua cabang, Datuk Mansor Othman, berang apabila permintaannya supaya JPP membuat pengiraan undi semula ditolak, menyebabkan berlaku rusuhan kecil di dalam dewan.
Kemarahan Mansor menyebabkan lebih 50 pengikutnya yang berada di dalam dewan bertindak menendang meja dan kerusi serta memaki JPP dan pengikut calon ketua cabang lain.
Mansor kemudiannya ditenangkan anggota PKR sehingga menyebabkan Law mengambil langkah drastik dengan terus menghubungi pengerusi JPP,Datuk Johari Abdul untuk mengawal keadaan.
Law yang juga Speaker DUN kemudiannya memaklumkan kepada ketua pengawas keputusan yang diperolehi daripada Johari.
Sejurus ketua pengawas memaklumkan pembatalan keputusan, dewan berkenaan tiba-tiba terputus bekalan elektrik selama tiga minit sehingga menyebabkan suasana menjadi kacau bilau.
Bagaimanapun, Law didapati menghilangkan diri selepas bekalan elektrik pulih seperti biasa sekali gus menimbulkan tanda tanya kepada ahli parti itu.
Cabang Nibong Tebal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara S Sanjeeviramah, Mansor dan penyandangnya, Maktar Shapee.
#Johari Abdul #JPP #Maktar Shapee #Mansor dan penyandangnya #Nibong Tebal #PKR #S Sanjeeviramah
;