Pasukan Keadilanraya yang menyokong Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan pimpinan PKR sesi 2014 hingga 2017 meminta pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin memberi keyakinan terhadap Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Johari Abdul.

Salah seorang anggota pasukan Azmin yang juga ahli PKR, Eekmal Ahmad menegaskan Badrul sepatutnya menyerahkan kepada kebijaksanaan Johari untuk membuat keputusan terhadap ahli Parlimen Gombak yang bertanding mempertahankan jawatan timbalan presiden yang disandangnya.

Eekmal berkata, tindakan Badrul berkempen dan membuat kenyataan supaya Azmin dibatalkan penyertaannya dalam pemilihan kali ini seolah-olah tidak yakin dengan kreadibiliti Johari.

"Kalau sudah ada bukti yang cukup, serahkan lah kepada Datuk Johari dan JPP buat keputusan, kenapa perlu buat kenyataan desak supaya penyertaan Azmin dibatalkan?

"Kalau MPP rasakan tidak perlu batalkan, berilah kepercayaan kepada ahli-ahli PKR, serahkan kepada mereka untuk memilih pemimpin," katanya kepada Astro AWANI.

Selain itu, Eekmal berkata Badrul juga perlu yakin dengan Datuk Saifuddin Nasution Ismail selaku Setiausaha Agung kerana dengan jawatan yang disandangnya beliau mengetahui perjalanan pemilihan parti.

Sebelum ini, Badrul memberitahu Astro AWANI, MPP perlu membatalkan penyertaan Azmin dalam pemilihan yang telah bermula Jumaat lepas atas alasan timbalan presiden PKR itu terlibat dalam penipuan ketika proses pengundian di beberapa cabang di Sarawak.

Berbeza dengan Badrul, Eekmal sejak awal mempertikaikan tindakan Saifuddin yang enggan meletak jawatan sebagai setiausaha agung PKR sebaik saja menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden.

Katanya, Saifuddin sepatutnya meletak jawatan kerana sebagai setiausaha agung, beliau perlu membentangkan laporan pemilihan ketika kongres PKR nanti.

"Macam mana dia (Saifuddin) nak bentangkan laporan kalau dia sendiri bertanding, sepatutnya laporan dibentangkan oleh mereka yang tidak bertanding," katanya.

PKR mengadakan pemilihan pimpinan baru bagi sesi 2014 hingga 2017 bermula Jumaat lepas dan dijangka selesai pada 11 Mei nanti.

Sehingga Sabtu, Azmin dikatakan mendahului selepas pemilihan diadakan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sarawak.