Pemilihan PKR: Pakar IT sahkan 2,000 undi hilang akibat capaian internet lemah
Bernama
Oktober 25, 2018 21:16 MYT
Oktober 25, 2018 21:16 MYT
Pakar teknologi maklumat (IT) mengesahkan 2,000 undi yang 'hilang' dalam Pemilihan PKR 2018 di beberapa cabang di Melaka dan Negeri Sembilan baru-baru ini disebabkan data tidak dapat disimpan secara 'cloud' kerana capaian internet yang lemah.
Perkara itu dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Rashid Din yang sekali gus menyelar dakwaan sesetengah pihak ibarat 'menuduh' jawatankuasa itu menyorokkan dan memanipulasi data undi.
Beliau berkata pengesahan itu dibuat secara sebulat suara oleh lima pakar teknologi maklumat terdiri daripada wakil pemimpin tertinggi PKR selain pakar daripada Institut Darul Ehsan dan dari luar negara, selaku pakar bebas, dalam satu sesi pembentangan proses pemilihan e-undi cabang tersebut hari ini.
"Capaian internet yang lemah ini diakui oleh pakar-pakar tersebut dan ia menyebabkan data undi tidak dapat dibaca dan tidak dapat dihantar ke 'cloud storage'. Sebab itu undi secara atas talian terbabit 'hilang'. Penemuan ini kita akan bawa dalam mesyuarat untuk lihat apakah tindakan yang boleh kita ambil.
"Untuk bertindak adil (kepada pengundi), idea pertama yang boleh kita buat adalah pengundian semula sebelum Kongress PKR pada 16 Nov ini. Sama ada secara sepenuhnya atau sebahagian saja, kita akan putuskan selepas bermesyuarat dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Bagi mengelakkan isu sama berulang, Rashid berkata pihaknya akan mewujudkan penyimpanan pendua secara langsung data undi iaitu disimpan secara 'cloud' dan di komputer tablet itu sendiri selain proses pengundian akan dibuat secara automatik di dalam talian dan luar talian sebagai penambah baikan.
Katanya, ia akan memudahkan pasukan teknikal JPP memantau graf proses pengundian dan jika berlaku sebarang kejadian luar jangka, mereka mudah mengesan untuk mengambil tindakan lanjut.
Rashid berkata walaupun berlaku beberapa masalah teknikal dalam proses pengundian bagi pemilihan kali ini, pihaknya tetap yakin sistem e-undi yang diguna pakai adalah yang terbaik dan selamat.
"Kita kesan ada berlaku beberapa cubaan menggodam sistem e-undi ini semasa pemilihan di Melaka, namun daripada aspek mana pun, sistem terbabit tetap diyakini selamat kerana kita juga ada gunakan penggodam sendiri untuk menghalang kegiatan penggodam lain.
"Untuk isu ini, kita akan bincang dan melihat semua aspek termasuk capaian internet, penggodam mahupun staf yang cuba mensabotaj undi. Kita akan terus tambah baik sistem pada masa depan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan wujudnya undi 'hilang' di enam cabang di Melaka melibatkan 1,700 pengundi dan satu cabang di Negeri Sembilan (300 pengundi) menyebabkan keputusan penuh Pemilihan PKR di kedua-dua negeri itu tertangguh.
-- BERNAMA